Forum Antara Benua

Monday, January 29, 2007

Israk Mikraj Part 2


Text (Terjemahan) Forum Dunia Islam Antara Benua Ansara Jasin
Tarikh - Masa : 21 Aug'06 - 10 pm (Malaysia) / 21 Aug'06 - 12 midnite (Australia) / 21 Aug'06 - 3 am (France) / 21 Aug'06 - 2 am (Ireland) / 21 Aug'06 - 4am (South Africa) / 21 Aug'06 - 7am (Uzbekistan)
Tempat : Chat room Eagropharma (Paltalk Private Conference )
Tajuk : Light of Truth (Cahaya Kebenaran)
Perantara : garden_of_jannah
Panelis :
1. heros_de_france (France-xmrsmjasin SPM 1985)
2. naga_lawan_otromen (Australia – xmrsmjasin SPM 1990)


Soalan : Apa pandangan ahli panel dakyah missionarist Kristian mengkritik pegangan umat Islam bagi memesongkan dan meragukan umat Islam dari ajaran Islam. Antara yang banyak diperkatakan oleh Missionarist Kristian ialah : Umat Islam mengatakan Allah bersifat Maha Mengasihani tetapi mengapa Allah menyiksa manusia dan jin di dalam neraka ?

Jawapan :

Panelis 2 : Saudari perlu ingat dan sedar, bahawa tanda kasih sayang tidak semestinya membiarkan yang dikasihi membuat sesuatu yang boleh membinasakan diri mereka. Saudari juga perlu ingat bahawa jangan kita mempersempitkan sifat Allah kepada Maha Mengasihani sahaja.

Dalam Islam, kita di ajar 20 sifat yang wajib bagi Allah. 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah. Ini bukanlah bermakna Allah hanya ada 20 sifat sahaja. Allah memiliki segala sifat kesempurnaan yang selayak bagi-NYA yang tidak terkira banyaknya. Ulamak Mujtahidin menyusun ilmu tauhid dan menggariskan bahawa umat Islam diwajibkan mempelajari sekurang-kurangnya 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah secara tafsili dan mampu mendatangkan dalil secara ijmali bagi membenteng aqidah mereka untuk tidak rosak. Mungkin hal ini tidak disedari di era zaman salaf, tetapi sekarang jelas kita nampak bagaimana musuh-musuh Islam cuba menyesatkan umat Islam dengan ajaran Islam yang sudah diselewengkan.

Begitu juga dengan asma' Allah. Kita diajar ada 100 nama-nama Allah yang agung dan mulia. Ini bukan bermakna Allah hanya ada 100 nama yang agung dan mulia. Arwah Tok saya pernah berkata, Imam Syaukani dalam kitabnya Tohfatuz Dzakirin telah berjaya mengumpukan seribu nama-nama Allah yang agung, dan nama yang paling agung ialah "ALLAH". Setiap nama-nama Tuhan yang agung ialah juga merupakan sifat bagi Tuhan, kecuali nama "ALLAH".

Musuh-musuh Islam dan pelopor ajaran sesat, mereka mempelajari agama Islam bukan untuk menambahkan keimanan mereka. Sebaliknya untuk diselewengkan dan mendatangkan keraguan ke atas umat Islam yang pegangan aqidah mereka rapuh. Mereka mendatangkan keraguan seperti yang didedahkan oleh saudari.

Untuk menjawabnya amat mudah. Maha Mengasihani itu sememangnya antara sifat-sifat kesempurnaan bagi Allah. Maha Mengasihaninya Allah sehingga Allah utuskan seorang hamba-NYA yang bergelar Nabi atau Rasul untuk memberi panduan kepada umat manusia agar umat manusia kenal siapakah Tuhan Sekelian Alam.

Maha Mengasihaninya Allah sehingga Allah utuskan utuskan Nabi & Rasul agar umat manusia tahu peraturan-peraturan yang telah Allah tetapkan demi kebaikan manusia itu sendiri. Kebaikan di dunia mahu pun kebaikan di akhirat. Setelah diutuskan Nabi & Rasul bagi menyampaikan wahyu-NYA, andainya manusia engkar dan melakukan kemungkaran, maka Allah berikan masa kepada hamba-NYA untuk bertaubat kerana sifat Allah Yang Maha Pengampun. Tidak dihukum dan dibalas perbuatan durjana manusia itu didunia. Agar manusia mengambil kesempatan untuk bertaubat. Setelah

Maha Mengasihaninya Allah kepada hamba dengan mengutuskan rasul & Nabi sebagai pembimbing. Setelah Maha Pengampunnya Allah memberi tempoh masa kepada hamba-NYA bertaubat. Tetapi jika hamba-NYA masih terus-terusan melakukan maksiat dan kemungkaran, maka Maha Adilnya Allah membalas perbuatan mungkar mereka dengan azab siksa neraka sebagai bukti Allah Maha Adil.

Allah menyeksa manusia yang berbuat mungkar dan maksiat bukan atas dasar Maha Mengasihani, tetapi atas dasar Maha Adil.

Allah memasukkan seseorang yang taat kepada-NYA ke dalam syurga ialah disebabkan mereka bertungkus-lumus melakukan ketaatan serta bertungkus lumus meninggalkan maksiat. Ini adalah kerana Allah Maha Adil.

Allah juga memasukkan seseorang yang derhaka kepada-NYA ke dalam neraka disebabkan mereka bersenang-lenang dengan maksiat dan kemungkaran. Ini adalah kerana Allah Maha Adil.

Malah dalam kehidupan dunia reality, seseorang yang melakukan jenayah dihukum oleh pemerintah. Apakah pemerintah tidak kasihan kepada rakyatnya ? Jawapannya : pemerintah merasa kasihan dan bertanggungjawab kepada rakyatnya yang taat dan menjalankan keadilan hukuman kepada penjenayah yang mengancam keselamatan rakyat yang taat. Inilah tamsilan yang boleh kita fikirkan.

Maha Mengasihaninya Allah, bukan terus dihukum tatkala hamba-NYA berbuat maksiat. Maha Mengasihaninya Allah, disusuli dengan sifat Maha Pengampun agar hamba-NYA yang derhaka mengambil kesempatan untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Inilah Maha Mengasihaninya Allah dan Maha Adilnya Allah.

Justeru itu, saya menyeru kepada diri saya dan saudara-saudari. Marilah kita merenung ke dalam diri kita. Sejauhmanakah kita beriman dan yakin dengan sifat Maha Mengasihani, Maha Pengampun dan Maha Adil bagi Allah.

Hidup kita seharian bergelumang dengan maksiat. Tak payah pergi jauh. Lihat sahaja ke dalam diri kita. Ada diantara kita mengaku pejuang Islam, tetapi dalam masa yang sama melakukan penderhakaan kepada Allah dengan sifat hasad dengki terhadap pejuang Islam yang lain.

Ada di antara kita mendabik dada memiliki gedung ilmu yang luas. Malangnya gedung ilmu yang luas itu hanyalah alat untuk kita jadikan kosmetik untuk menutup kemunafikan yang bersarang dalam hati kita.

Inilah wajah-wajah sebenar diri kita. Apakah kita sanggup kembali mengadap Allah bersama wajah-wajah sebegini ? Simpanlah jawapan kepada persoalan ini dalam diri anda.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home