Forum Antara Benua

Friday, February 24, 2006

Forum Part 7

Forum Dunia Islam Antara Benua Anjuran Bekas Pelajar MRSM
Tarikh - Masa : 4 Feb'06 - 6 am (Malaysia) / 4 Feb'06 - 8am (Australia) / 3 Feb'06 - 11pm (France) / 3 Feb'06 - 10pm (Ireland) / 3-4 Feb'06 - 12midnite (South Africa) / 4 Feb'06 - 3am (Uzbekistan)
Tempat : Chat room Eagropharma (Private Conference )
Tajuk : Manhaj Perjuangan Rasulullah SAW
Perantara : eagropharma
Panelis :
1. heros_de_france (France-xmrsmjasin SPM 1985)
2. drzali911 (Ireland – xmrsmjasin SPM 1987)
3. naga_lawan_otromen (Australia – xmrsmjasin SPM 1990 )


Soalan : Dalam dunia realiti, kita dapati ramai orang mengaku berdakwah. Banyak juga program-program dakwah yang dilakukan. Apakah pendekatan yang akan diambil oleh pihak ahli panel untuk menyalurkan usaha dakwah ?

Panel 2 : Soalan saudara agak abstract dan general. Pokoknya sekarang, kita fikirkanlah cara terbaik untuk menyampaikan seruan selagi tidak bertentangan dengan syariat. Cara terbaik, maksudnya kita fikir, bincang, cari resolusi kaedah bagaimana ingin menyampaikan seruan dengan cara yang berkesan. Bukan seperti apa yang sahabat kita katakan tadi, melepaskan batuk ditangga. Buat program dakwah, semata-mata untuk cukup syarat, untuk isi program masa lapang atau dipanggil pendakwah. Bukan untuk tarbiah. Kena rancang dan fikir, apa isi kandungan seruan. Kena lihat keupayaan penerimaan sasaran dakwah. Sampaikan dengan cara yang berhikmah dan mudah. Jangan disukarkan. Kalau kita tak mampu berhadapan dengan sasaran dakwah yang tegar, cari sasaran yang kita mampu sampaikan seruan. Kalau tidak berjumpa juga, hijrah. Bina kekuatan di tempat baru. Setelah kekuatan dibina di tempat baru, kembali semula ke tempat lama dan sebarkan seruan. Runtuhkan kubu-kubu jahiliah dan mungkar. Seterusnya kita bina keimanan dan ketaqwaan di atas runtuhan tersebut.

Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bukan bermakna Rasulullah tak mahu menyampaikan seruan kepada penduduk Mekah. Tetapi penghijrahan Rasulullah adalah untuk membina iman yang kukuh di kalangan para sahabat. Setelah keimanan umat Islam telah kukuh, jangankan Yahudi di Madinah ditewaskan, Mekah pun Rasulullah takluk semula. Bukan setakat Mekah, selepas kewafatan Rasulullah, empayar Islam telah menjangkau ke timur dan barat. Utara dan selatan. Sebab itu jangan main-main dengan orang yang berhijrah. Dia hijrah ikut sunnah Rasulullah. Sekali dia balik dari hijrah, habis semua berhala keliling Kaabah hancur dibuatnya. Sebab itu jangan buruk sangka dengan orang yang berhijrah. Sebab kalau dia kembali dari hijrah, kalau masih dalam jalan mungkar nanti jadilah seperti Abu Sufian waktu peristiwa futuhul Mekah. Abu Sufian bila sedar last minute akan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah, baru datang ke Madinah untuk mohon perlindungan. Alhamdulillah, dia sedar walaupun last minute. Kalau orang yang buruk sangka, dia akan kata Rasulullah takut dan tidak mahu dakwah orang di Mekah, sebab itu Rasulullah cabut lari ke Madinah. Tetapi bila Rasulullah balik ke Mekah dalam peristiwa futuh Mekah, orang yang buat cerekarama melopong mulut.

Dan dalam perjuangan, kes-kes hijrah menghijrah ini satu kebiasaan. Sebab kita dalam jemaah-jemaah, apa yang kita lakukan adalah juzuk-juzuk kecil dalam perjuangan. Bukan sesuatu yang sempurna. Citarasa kita berbeza. Maka tak hairanlah berlaku penghijrahan dari satu jemaah ke satu jemaah yang lain. Kalau ada sahabat kita yang berhijrah dari jemaah kita, masuk ke jemaah lain. Ada tak kita muhasabah jemaah kita, mengapa jadi begitu ? Ada tak kita tanya sahabat kita mengapa dia berhijrah ? Mungkin ada krisis sesama ahli. Mungkin juga pada pandangan dia jemaah kita ini payah nak berjuang sebab maksiat lagi banyak dari ibadat. Jadi kalau kita tak ambil pandangan darinya secara peribadi, hanya dengar dari mulut orang. Apa maruah kita sebagai seorang yang mengaku ingin menegakkan maaruf ? Kalau kita membuat kesimpulan bahawa penghijrahannya itu suatu kesalahan, tanpa mengambil kenyataan dan pendapat dari dia, tanpa kita hisab jemaah kita. Saya rasa mahkamah Yahudi di Israel pun lebih adil dari orang yang mengaku Islam yang mengaku pejuang. Mahkamah Yahudi di Israel, untuk jatuhkan hukuman ke atas seseorang pun dia ambil kira pembelaan orang yang didakwa. Kita yang mengaku pejuang Islam, boleh buat kesimpulan berdasarkan kata-kata orang. Mana keadilan ? Memang patut Allah tidak bantu jemaah kita. Allah hinakan kita, sampai pengikut kita pun mengkartun-kartunkan kita. Sebab kita lebih zalim dari Yahudi.

Sebab itu, kalau kita ada jemaah. Orang keluar dari jemaah kita ikut jemaah lain, kalau kita boleh tuduh dia seperti orang Yahudi membuat tuduhan ke atas Rasulullah. Tak ada beza kita dengan Yahudi. Kalau ada pendakwah berkata sedemikian. Mana sifat pandangan jauh dalam berdakwah yang sepatutnya ada pada kita ? Kita mengaku berpandangan jauh, tetapi kita sendiri pandang sejengkal dari anak mata kita. Macam mana orang yang kita dakwah hendak ikut seruan kita ?

Panel 3 : Soalan ini lebih menjurus kepada teknikal. Teknikal ini ranting-ranting saja kepada sebatang pokok, jika kita gambarkan perjuangan ini laksana sebatang pokok. Saya ulang sekali lagi. Teknikal ini, ibarat sebatang pokok, soal teknikal ini ibarat ranting. Ranting ini soal kecil. Selagi tidak mencacatkan batang pokok, lebih-lebih lagi tidak mencacatkan akar pokok, jangan dicantas ranting tersebut. Sebab ranting yang banyak akan menghasilkan daun yang rimbun yang boleh menjadi tempat berteduh. Melainkan ranting yang dimakan ulat, atau menjadi tempat menumpang pokok parasit. Itu akan merosakkan pokok.

Begitulah dengan perjuangan. Tak salah ada banyak uslub dan kaedah berdakwah. Tetapi pastikan tidak bersalahan dengan syariat dan aqidah. Kaedah berdakwah yang banyak, akan menghasilkan banyak natijah yang positif yang boleh menjadi payung untuk masyarakat menumpang rasa keindahan Islam. Tetapi jika kita dapati, uslub atau kaedah dakwah yang kita lakukan itu, memberi peluang kepada golongan fasik, kafir dan munafik merosakkan iman dan Islam, segeralah kita hentikan kaedah tersebut.

Saya pernah berbincang dengan seorang chatter tentang suatu program tarbiah untuk para pendakwah. Saya cadangkan kepadanya, kursus jangan statik. Tak semestinya kat dewan kuliah. Balik-balik mengadap projector dan white screen. Sebaik-baiknya, buat sesuatu yang bukan sahaja sasaran dai'e boleh dengar, tetapi boleh nampak dengan mata kepala. Kenalah latih kader dai'e sungguh-sungguh. Kalau mampu, bawa dai'e ke Italy, pergi ajar macam mana nak Islamkan rakyat Vatican yang hangit kelekung dengan Kristian. Habis cekai, bawa dai'e ke mana-mana kampung, pergi ziarah rumah orang yang tak sembahyang dan sebagainya. Kena ada praktikal. Bukan main teori-teori.

Macam drzali kata. Dalam berhijrah pun ada matlamat, sebagaimana hijrahnya Rasulullah SAW. Kalau dai'e tak nampak sebab musabab orang hijrah dari jemaah dia ke jemaah lain, terus tuduh orang yang berhijrah itu tak mahu berdakwah. Ini memang tak global langsung. Janganlah nak mengaku global. Kena dilihat dari prespektif syariat. Bukan dari prespektif global. Kita mengaku global, sedangkan kita berfikiran macam katak di bawah tempurung. Dalam tempurung itulah akal si katak berkembang. Cuba singkap dan terbalikkan tempurung, terkejut badak si katak sampai terbeliak biji mata. Sebab baru si katak sedar, di sebalik keglobalan tempurungnya, ada lagi dunia yang lebih besar. Itulah natijah kalau main teori dan ikut kepala otak sendiri yang jumud. Saling tak tumpah bagai si katak bawah tempurung. Katak oh katak, mengapa kau panggil hujan. Maka jawab si katak .... macam mana aku tak panggil hujan, supaya aku boleh buat macam-macam alasan. Alasan untuk sembunyikan kelemahan setelah sedar yang fikirannya hanya seglobal separuh biji tempurung kelapa.

Seperkara lagi. Saya menyeru. Janganlah ditaksubkan jemaah sendiri. Janganlah ditaksubkan puak sendiri. Sebaliknya taksublah kepada hukum-hakam syariat Allah SWT. Kerana hukum-hakam syariat Allah yang sebenar-benarnya kita perjuangkan. Bukannya jemaah atau puak. Jemaah atau puak hanyalah wadah untuk memudahkan perjuangan dan bukannya matlamat.

Setiap jemaah ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sepatutnya kita saling bertolong bantu dan lengkap melengkapi. Tidak salah melakukan teguran sesama jemaah. Kalau jemaah A, rasa jemaah B ada masalah perlanggaran syariat. Big Boss jemaah A, silalah menghubungi Big Boss jemaah B dan tegur. Big Boss jemaah B pula terimalah teguran dengan hati terbuka. Berusahalah untuk memperbaiki kelemahan jemaah dan memperkemaskan gerakan menuju keredhaan Allah. Bukannya didik anak-anak buah untuk memusuhi jemaah A. Big Boss jemaah B jangan pula melenting dan melatah bila ditegur. Sambil menggunakan alasan perjuangannya lebih global dan uslub berbeza dari jemaah A untuk cover kesilapan yang dia tidak mampu nak sekat. Sedangkan syariat itu hanya datang dari Allah dan Rasul-Nya. Kenalah bersatu dalam mendaulatkan hukum-hakam syariat Allah SWT.

Panelis 1 : Secara dasarnya. Untuk kita merangka langkah-langkah perjuangan. Kenalah ada perancangan dan percaturan yang rapi. Tidak boleh dibuat secara semberono. Matlamat berdakwah adalah untuk mengajak manusia kembali menjadi hamba Allah. Untuk itu perkara pertama yang perlu kita usahakan ialah menanam kesedaran ke dalam diri manusia. Tanpa kesedaran, orang yang jahil akan terus dalam kegelapan. Tanpa kesedaran orang yang berilmu tidak mahu menyampaikan ilmu. Tanpa kesedaran, pemerintah menjadi zalim. Tanpa kesedaran, ulama tidak mahu mendidik. Sebab itu, langkah pertama yang perlu dilaksanakan dalam merintis jalan dakwah ialah kesedaran.

Apabila telah lahir kesedaran, maka bermulalah langkah kedua iaitu memberi kefahaman. Kefahaman tentang ilmu Islam, kefahaman tentang pentingnya fardhu ain dan fardhu kifayah. Kefahaman tentang konsep ibadah yang betul. Inilah langkah kedua.

Seterusnya ialah langkah ketiga, iaitu mengajak mereka yang telah sedar, yang telah faham untuk beramal dan memperjuangkan pegangan dan keyakinan yang telah mereka miliki. Untuk itu, terpulang kepada saudara dan saudari menggubal satu method dalam mengorak langkah perjuangan saudara-saudari. Seperti yang disebutkan oleh drzali dan drnik, setiap perancangan dan method yang digubal, perlu di post mortem dengan ilmu syariat, apakah gaya dan perjalanannya bersesuaian dengan syariat Islam.

Kalau kita tidak mulakan dengan menanam kesedaran kepada sasaran dakwah, syarahlah bab khusyuk sembahyang sampai berbuih mulut. Kita harap selepas syarahan mereka mula bersembahyang, tapi waktu dai'e bersyarah, dia dok geybang nak pi dating tang mana. Sebab tidak ada kesedaran. Target tak sedar mengapa kena sembahyang. Syarah sampai berbuih mulut pun dok tang tu gak. Sebab itu, tukang syarah, atau dai'e kenalah pandai menilai target syarahan dan kena pandai susun isi syarahan. Kalau hang dok syarah pasai sembahyang, depa lak dok rancak syarah pasai nak pi dating tang mana. Itu tanda target dai'e tak ada kesedaran. Jangan dibuang masa dengan cerita rukun sembahyang. Patut syarahkan tentang syurga dan neraka, agar mereka sedar yang mereka diwujudkan dimuka bumi untuk beribadah kepada Allah bukannya untuk jadi hamba nafsu dan hamba syaitan. Kalau jadi hamba selain Allah, tempatnya di neraka. Neraka itu tempatnya azab. Kalau tak boleh tahan dengan seterika panas yang melekap kat muka, jangan tunjuk lagak kata berani masuk neraka.

Setelah mereka sedar, barulah didedahkan dengan pemberian ilmu dan memberi faham kepada mereka. Dedahkan rukun dalam ibadah. Ceritakan syarat sah dan batal. Bimbing mereka untuk memperkemaskan ibadah dengan amalan-amalan sunat dan sebagainya.

Lantas, pimpinlah mereka untuk beramal dan berjuang.

Kepada para dai'e. Tak kira dalam apa juga jemaah dan gerakan. Tanamlah kesedaran dalam diri terlebih dahulu. Tanamlah kefahaman dalam diri terlebih dahulu. Dan beramal dan berjuanglah di dalam diri terlebih dahulu. Kerana kalau kita sendiri nyata belum selamat dari azab Allah, bagaimana kita ingin menyelamatkan orang lain ?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home