Forum Antara Benua

Friday, February 24, 2006

Forum Part 5

Forum Dunia Islam Antara Benua Anjuran Bekas Pelajar MRSM
Tarikh - Masa : 4 Feb'06 - 6 am (Malaysia) / 4 Feb'06 - 8am (Australia) / 3 Feb'06 - 11pm (France) / 3 Feb'06 - 10pm (Ireland) / 3-4 Feb'06 - 12midnite (South Africa) / 4 Feb'06 - 3am (Uzbekistan)
Tempat : Chat room Eagropharma (Private Conference )
Tajuk : Manhaj Perjuangan Rasulullah SAW
Perantara : eagropharma
Panelis :
1. heros_de_france (France-xmrsmjasin SPM 1985)
2. drzali911 (Ireland – xmrsmjasin SPM 1987)
3. naga_lawan_otromen (Australia – xmrsmjasin SPM 1990 )

Soalan : Apa pandangan ahli panel tentang seseorang dai’e yang meletakkan kesempurnaan sasaran dakwah sama seperti kesempurnaan para dai’e?
Jawapan Panelis 2 : Boleh perjelaskan soalan saudari. Saya kurang jelas.
Soalan : Maksud saya, seorang dai’e menganggap sasaran dakwah mempunyai sifat dan watak yang sempurna seperti yang dimiliki oleh seorang dai’e. Jadi mereka layan sasaran dakwah dan mengharapkan mereka berubah dengan kadar yang segera.
Jawapan Panelis 2 : Dalam usaha kita berdakwah. Faktor hikmah tidak boleh dipandang enteng. Hikmah dalam penyampaian dan hikmah dalam perancangan. Hikmah dalam penyampaian, saya yakin rata-rata kita yang ada di dalam room ini sudah arif dan faham. Tetapi hikmah dalam perancangan yang saya nak tekankan disini. Apa yang saya maksudkan dengan hikmah dalam perancangan dakwah ? Yalah setiap apa kita nak buat kenalah rancang. Saya hendak ambil satu contoh.
Sejarah mengatakan, Islam datang ke Tanah Melayu oleh pedagang Arab.Itulah yang disebut dalam buku sejarah di Malaysia. Itulah yang kita belajar, anak-anak kita belajar. Samalah dengan kenyataan dalam buku sejarah Melayu, Tok Janggut adalah pemberontak kerana melawan Inggeris. Kalau adalah di kalangan pendakwah yang ada di dalam forum ini bersetuju dengan kenyataan tersebut, saya harap ubahlah pemikiran anda sekarang juga. Kalau tak mahu mengubah fikiran dan ingin berpegang kepada kenyataan bahawa Islam datang ke Tanah Melayu oleh pedagang Arab, saya mengatakan bahawa mereka bersetuju dengan kenyataan tersebut kerana mereka hanya berdakwah di peringkat teori dan bukan diperingkat praktikal. Semuanya hanya dalam kepala dan teori. Tak terzahir. Tak pernah terlibat secara langsung dalam usaha dakwah. Lebih-lebih lagi tidak pernah bersusah payah dan mengorbankan kepentingan diri dalam usaha dakwah. Kalau kita hanya berkata dan bersyarah berapi-api di peringkat teori, untuk dapat PhD dibidang dakwah, bolehlah. Tapi untuk mendapat keredhaan Allah, saya rasa susah. Sebab memperkatakan sesuatu yang tidak diamalkan. Di situ saja sudah berdosa.
Saya menafikan sekeras-kerasnya, Islam datang ke Tanah Melayu oleh pedagang Arab. Sebaliknya Islam datang ke Tanah Melayu oleh pendakwah Arab yang menyamar sebagai pedagang. Apa bukti dan alasan saya ?
Tahun 2005, kalau nak pergi haji seorang rakyat Malaysia terpaksa membelanjakan RM 11000 untuk bertolak dari Malaysia ke Tanah Arab dan tinggal di Tanah Arab untuk satu musim Haji. 500 tahun yang lalu, sewaktu Islam sampai ke Tanah Melayu dari Tanah Arab, saya anggarkan jumlah perbelanjaan yang perlu dibelanjakan adalah lebih besar jika dinisbahkan dengan zaman sekarang, sebab kepayahan dan kesukaran yang perlu dialami oleh mereka yang hendak ke Tanah Melayu dari Tanah Arab. Kalau orang yang berdagang, dari segi ekonomi, tak berbaloi.
Apakah barang dagangan yang hendak di dagang ? Kopiah ? Kain telekong ? Tudung ? Benda tersebut tak perlu datang satu batallion yang menyebarkan pasaran dari Terengganu hingga ke Melaka. Bawa idea, dan hasilkan di Tanah Melayu. Malah barang apakah dari Tanah Melayu yang didagangkan di negara Arab yang kita boleh nampak sehingga wujud perdagangan antara pedagang Arab dan pedagang Tanah Melayu ? Saya tak nhampak barang dagangan Melayu ada di pasaran Arab dan bahan dagangan Arab ada di pasaran Melayu. Tak seperti Inggeris dan Belanda, mereka bawa rempah ratus ke negara mereka dan produce atas jenama mereka. Contohnya jenama HEINZ di Belanda dan German , mengeluarkan kicap, sos cili, sos tomato, rempah dalam botol atas jenama mereka. Itu semua dari Tanah Melayu dan Asia. Lebih jelas lagi, getah, bijih timah dan hasil galian Tanah Melayu di dagangkan diperingkat antarabangsa oleh Inggeris dan penjajah. Di mana barang dagangan Melayu yang dipasarkan oleh Arab ? Dan di mana barang dagangan Arab yang dipasarkan di tanah Melayu ? Tak ada. Kopiah dan jubah di Arab itu pun made in China. Ini antara bukti nyata bahawa yang bawa Islam ke alam Melayu adalah pendakwah Arab yang menyamar jadi pedagang dan bukannya pedagang Arab yang secara tidak sengaja menyebarkan Islam di Tanah Melayu.

Kesimpulannya ada dua. Pertama yang datang ke Tanah Melayu di kala itu bukan pedagang Arab tetapi pendakwah Arab yang menyamar sebagai pedagang. Kedua gerakan mereka ada perancangan. Bukan macam “kun fayakun”. Atau gosok lampu Aladin, keluar jin dan suruh jin buat sesuatu yang ajaib. Tanpa perancangan, takkan boleh dicapai kemenangan dan kejayaan. Pendakwah Arab merancang untuk menyamar sebagai pedagang untuk menyebarkan Islam di tanah Melayu. Jika ada yang mengaku pejuang Islam, masih termakan dengan kenyataan dalam buku sejarah, belum turun medan perang dah kalah. Belum berdakwah dah kena tipu dengan musuh Islam. Jadi dalam hikmah perancangan, seseorang pendakwah perlulah :

Menjadikan diri mereka seseorang yang dipercayai oleh Allah dan Rasul untuk memikul tanggungjawab dakwah
Berani menyatakan yang hak dan menolak kemungkaran dalam diri, keluarga dan masyarakat
Berusaha menyampaikan dakwah dengan berkesan berdasarkan mekanisme yang terancang walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri dan keluarga.
Mahir dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat.

Matlamat dakwah mesti jelas. Dakwah ini, bukan sekadar kita beri ilmu dan biarkan sasaran dakwah terkebil-kebil nak beramal sendirian. Kalau ada dai’e yang mengatakan ……. “tugas kita hanya menyampaikan, kalau sasaran dakwah tak mahu berubah, kita tak boleh buat apa, sebab hidayah milik Allah” ………. Ini tanda dai’e tidak berhikmah dalam perancangan. Dai’e tu jahil muraqab pun ya jugak. Paling kurang ajar, dia menjadikan Qadha dan Qadar Allah sebagai jalan menutup kelemahan diri.

Kalau dai’e ada perancangan, dia akan kenal sasaran dakwah. Dia akan kenal mekanisme yang sesuai untuk menembak hati sasaran dakwah dengan peluru iman dan taqwa. Kalau dai’e ada perancangan dia tahu sasaran dakwah yang mana patut diutamakan, sama ada yang benar-benar ingin berubah, atau yang berlakon ingin berubah, atau yang bertopengkan muka welfare untuk berubah sebaliknya mencari kesempatan untuk menyesatkan orang yang baru hendak berubah dan sebagainya. Hikmah ini sebenarnya bukan untuk sasaan dakwah, sebaliknya adalah untuk diri sendiri.

Jawapan Panelis 3 : Saya nak mencelah sedikit. Arwah datuk saya pernah berpesan. Kalau kita ingin orang berubah, diri kita dulu hendaklah diubah. Tentang sifat dan watak kesempurnaan pada dai’e, saya nak komen sedikit. Betul ke yang dai’e ini sempurna sifat dan watak ? Kalau para dai’e merasakan diri dah sempurna, eloklah tak payah jadi dai’e. Orang jadi dai’e agar boleh didik diri. Apa yang dicakapkan adalah dari hati. Bukan untuk ambil hati. Kalau sudah rasa diri sempurna, itu bukan sifat dai’e. Itu sifat Azazil. Azazil sebab rasa diri sempurnalah dia jadi iblis. Pendakwah kalau rasa diri sudah sempurna, itu yang jadi pendakyah.

Dai’e yang rasa diri sempurna itu tanda diri dia sendiri belum di dakwah. Kalau diri sendiri tak reti nak didakwah, macam mana nak dakwah kepada orang lain. Bila sasaran dakwah tak berubah, mulalah cari alasan …….. “hidayah itu milik Allah, bukan milik kita. Ayah saudara Nabi pun mati kafir, inikan lagi kita yang bukan Nabi” ……. Tak kurang ajar ke ni ? Perangai macam Iblis, tapi bila usaha tak berjaya mengaku perangai macam Nabi ? Orang-orang yang macam inilah yang mendatangkan fitnah kepada gerakan dakwah.

Harap maaf, saya agak kasar sedikit. Tapi terpaksa saya luahkan agar menjadi peringatan kepada diri saya dan anda semua. Kalau benar ingin menjadi dai’e, janganlah diikut perangai iblis. Jadikanlah diri penuh dengan sifat kehambaan. Dan yang paling utama dan sepatutnya ialah pergantungan diri dengan Allah. Pautan hati dengan Allah. Hubungan kita dengan Allah. Ibadah hendaklah kemas dan cantik.

Usaha-usaha juga, tetapi kalau kita rasakan orang berubah disebabkan diri kita, itu sudah melawan tauhid. Cacat hubungan kita dengan Allah. Hancur segala amalan dan tak ada nilai disisi Allah. Tertipu kita dengan dakwah dan perjuangan. Di sangka kitalah yang paling hebat dalam medan dakwah, hakikatnya kitalah setolol-tolol manusia kerana mengharapkan nilaian manusia dari nilaian Allah. Ghurur dan tertipulah kita dalam berjuang dan beramal. Kalau terlintas dalam hati kita, kejayaan yang kita kecapi adalah dari hasil usaha kita, sebenarnya itu syaitan dan nafsulah yang membisikkan lintasan hati kita agar kita merasa ujub dan riyak dengan usaha kita. Sebab itu arwah datuk saya waktu saya kecil anak-anakkan, pernah suatu ketika dia pergi membuat program qiamullail dan syarahan di sebuah kampung di Semerak. Selepas program, berjujuk orang datang ke madrasah dia untuk menghantar anak mengaji sambil memberi sumbangan ke madrasah, sama ada dalam bentuk beras, gula keperluan dapur mahu pun sumbangan kewangan. Cepat-cepat arwah datuk saya himpunkan tenaga pengajar dan murid-murid tua. Bukan untuk joli katak dengan sumbangan yang diberikan oleh masyarakat. Tetapi untuk dimarahi. Atau lebih tepat untuk ditarbiah. Agar tidak terasa kesan sumbangan dari masyarakat adalah usaha dari program qiamullail dan syarahan. Dipaksa membuat solat taubat. Selesai solat taubat, disyarah lagi. Diceritakan tentang dosa dan neraka. Diberi peringatan dengan khabar-khabar ancaman. Sampai ada tenaga pengajar dan murid tua yang menangis. Untuk apa semua ini ? Agar diri tak terasa hebat hasil kesan program qiamullail dan syarahan di kampung orang. Agar diri pendakwah ingat, bahawa ini mungkin ujian dari Allah untuk menguji sejauh mana kita mensyukuri kudrat yang Allah pinjamkan hingga kita mampu terjun ke tengah masyarakat untuk menyampaikan kalimah Allah. Mungkin juga bantuan sumbangan selepas program tersebut merupakan istidraj dari Allah. Jadi jangan disebabkan kita berjaya dalam sesuatu program atau berjaya dalam berdakwah kita sudah sangka kita telah berjaya.

Saya juga masih ingat pesanan arwah datuk saya,…..” Kita belum dikatakan berjaya, selagi kita belum masuk ke syurga Allah”……Nah. Suluh dan hisablah diri kita. Andai kita sudah berpuas hati dengan pencapaian yang telah kita perolehi didunia, janganlah kita sesekali berlagak yang kitalah yang terhebat, kitalah yang terbaik. Sebab belum tentu hujung kalam kita dianugerahkan dengan husnul khatimah. Namun sebagai makhluk yang lemah, tiada daya upaya kita melainkan memperkuatkan pautan hati kita dengan Allah. Agar kita tidak tergelincir dari landasan kebenaran dan jatuh ke jurang kemusnahan. Arwah datuk saya juga pernah berpesan …..”kita berjuang bukanlah disebabkan kita ini orang paling baik, tetapi kita berjuang agar orang yang menjadi baik hasil perjuangan kita beramal. Di harapkan dengan amal ibadah mereka itu nanti, akan menjadi jariah kepada kita agar azab siksaan kita diakhirat nanti diringankan Allah” ………..Begitulah sepatutnya pendirian yang perlu dimiliki oleh setiap para pejuang dan para dai’e.

Jawapan Panelis 1 : Dalam menentukan sasaran dakwah, dai’e perlulah ada sifat bijaksana. Bijaksana ini sifat para Nabi dan Rasul. Maka sebagai dai’e kenalah ada sifat macam ini. Bijaksana dalam mengatur dan menyusun perancangan dan strategi. Kalau setakat buat majlis ilmu, bagi ceramah sampai dua tiga jam, tapi sasaran dakwah dok macam tunggul mati. Habis ceramah, sasaran dakwah buat maksiat balik. Penceramah beri ceramah, sasaran dakwah pun beri ceramah sesama sendiri bagaimana nak buat maksiat lagi banyak. Itu tanda dai’e tak pandai berstrategi, tak pandai menilai sasaran dakwah dan tak pandai atur dan susun sasaran dakwah. Semua main hentam keromo. Buat program dakwah untuk dipanggil pendakwah bukan untuk didik manusia. Sebab itu ada disebut dalam kitab mengenai sasaran dakwah. Dinyatakan dalam kitab sasaran dakwah ada 4 jenis, iaitu :

Orang berilmu
Orang yang ada prinsip
Orang yang ada kepentingan
Orang yang jahil

Antara 4 kategori sasaran dakwah, hendaklah ditumpukan kepada kategori yang terakhir lebih banyak sebab :

Mereka yang paling ramai
Mereka senang berubah dan beramal
Mereka bersedia terjun bersama-sama ke medan perjuangan
Mereka bakal menyambung perjuangan setelah dai’e kembali ke rahmatullah.

Kategori pertama, kedua dan ketiga kenalah orang yang benar-benar berpengalaman dan mahir dalam mengubah fikiran. Sebab itu Rasulullah SAW melantik Mus’ab Bin Umair ke negeri Yaman. Yaman negeri yang rakyatnya amat cerdik, berpendirian tegas dan pandai berhujjah. Oleh kerana Mus’ab adalah pakar hukum dan pandai memutar pemikiran orang, Rasulullah SAW menghantar Mus’ab ke sana. Rasulullah SAW tidak menghantar orang lain. Jadi dai’e kena pandai ukur tahap diri sendiri sama ada mampu berhadapan dengan kategori pertama, kedua atau ketiga. Kalau dai’e tahu dan sedar diri tidak mampu berhadapan dengan mereka, maka tumpukan sahaja pada kategori yang keempat. Jangan buang masa dengan tiga kategori yang dia tidak mampu untuk diuruskan. Dan amat penting sasaran dakwah dari kategori yang keempat tidak diletakkan sekali dengan kategori yang lain dalam memberi dakwah. Kerana, mereka akan jadi mangsa kepada orang yang ada kepentingan. Inilah yang dikatakan bijaksana. Bijaksana dalam menilai keupayaan diri sendiri. Bijaksana dalam mengenal dan mengkategori sasaran dakwah. Bijaksana dalam mengatur program untuk sasaran dakwah kategori keempat agar tidak menjadi mangsa kepada sasaran dakwah dari kategori yang lain terutama yang berkepentingan. Jadi, jika kita mampu untuk berlaku bijaksana, usahakanlah untuk menjadi bijaksana. Pelajarilah dari Rasulullah, sahabat dan orang salafussoleh. Kerana merekalah yang telah terbukti berjaya. Apabila kita sudah pelajari, maka beramallah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home