Forum Antara Benua

Friday, February 24, 2006

Forum Part 10

Forum Dunia Islam Antara Benua Anjuran Bekas Pelajar MRSM
Tarikh - Masa : 4 Feb'06 - 6 am (Malaysia) / 4 Feb'06 - 8am (Australia) / 3 Feb'06 - 11pm (France) / 3 Feb'06 - 10pm (Ireland) / 3-4 Feb'06 - 12midnite (South Africa) / 4 Feb'06 - 3am (Uzbekistan)
Tempat : Chat room Eagropharma (Private Conference )
Tajuk : Manhaj Perjuangan Rasulullah SAW
Perantara : eagropharma
Panelis :
1. heros_de_france (France-xmrsmjasin SPM 1985)
2. drzali911 (Ireland – xmrsmjasin SPM 1987)
3. naga_lawan_otromen (Australia – xmrsmjasin SPM 1990 )



Soalan : Saudara ada menyebut, bahawa antara hikmah disebalik penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah ialah untuk membina iman yang kuat, untuk menghimpunkan sahabat dan melahirkan contoh masyarakat Islam. Sahabat ini banyak ragam dan banyak perangai. Sebab itu dalam perjuangan walaupun ramai sahabat, tetapi perjuangan tidak tercapai. Bolehkah pihak ahli panel memberi penjelasan detail berkenaan peranan sahabat dalam perjuangan ?

Panelis 2 : Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk berjemaah. Jemaah maksudnya kena ada lebih dari seorang. Kalau kita hendak berjemaah, tentunya kita memilih untuk berjemaah bersama-sama sahabat kita. Bukan berjemaah dengan musuh kita. Jadi kita mengharapkan sahabat-sahabat kita menyokong dan membantu kita dalam perjuangan. Susah, sama susah. Senang, sama senang. Ketawa bersama. Menangis bersama. Bukannya kita ketawa, dia ketawa terbahak-bahak. Kita menangis, dia gelakkan kita. Apakah ciri-ciri sahabat yang ada bersama kita mampu menyokong fahaman dan perjuangan kita ? Kalau mereka tidak mampu menyokong fahaman dan perjuangan kita, ini bermakna mereka bukan sahabat kita. Mereka hanya kenalan. Kenalan, hanya kenal kita, tetapi tidak mahu bersama-sama dengan kita dalam perjuanagan ini. Paling kuat pun, dia beri galakan, jadi jurusorak. Tapi bila kita melangkah ke perjuangan menegakkan yang hak, kawan-kawan itu masih bersama dengan yang bathil. Ini bukan sahabat. Ini hanya kenalan. Kalau mereka ingin jadi sahabat seperjuangan kita, kenalah mereka bersama-sama terjun bersama kita melaksanakan titah perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Sekarang cuba ukur dan lihat, berapa ramaikah sahabat yang kita ada dan berapa ramaikah kenalan yang kita ada? Mana satu yang kita ada ramai ? Sahabatkah atau kenalankah ? Kalau kita ramai kenalan, stekat mahu ajak ngobrol-ngobrol tak jadi masalah. Tapi rugilah, kerana kita tidak dapat ajak mereka bersama-sama berjuang.

Begitu juga seorang sahabat, dia akan menegur kesalahan yang kita lakukan demi masa depan kita. Seorang sahabat juga apabila mereka buat kesalahan, bila ditegur kesalahan mereka, mereka akan menerima dengan hati terbuka. Kalau kita buat salah, mereka tidak tegur kita, itu bukan sahabat, malah mungkin juga bukan kenalan. Tetapi syaitan yang bertopengkan manusia. Dia suka kita buat mungkar. Begitu juga, kalau mereka buat mungkar, kita tegur, terus berkelahi. Itu juga bukan sahabat. Kadang-kadang boleh jadi musuh. Jadi kalau terjadi begini, jangan risau. Ada banyak lagi manusia yang boleh jadi sahabat. Kumpulkan sahabat seramai mungkin, bukannya kenalan. Sebab kenalan bila-bila boleh jadi musuh kita serta tidak membantu dalam perjuangan kita.

Panelis 3 : Sahabat. Susah senang bersama. Teman di kala berduka. Mengorbankan kepentingan mereka demi kesejahteraan ikatan ukhwah yang terjalin. Natijah dari persahabatan yang murni ialah ukhwah. Ukhwah adalah sumber kekuatan kedua dalam perjuangan selepas kemantapan iman.

Orang yang tidak ramai sahabat. Maka tidak banyaklah sumber kekuatan ukhwah. Andai tidak banyak sumebr kekuatan ukhwah, maka lembab dan lambatlah jalan perjuangan.

Persahabatan yang lahir berdasarkan keimanan, akan membuahkan rasa ukhwah dan kasih sayang yang berpanjangan. Di kala itu, seorang sahabat sanggup mebgorbankan kepentingan duniawi mereka demi kesejahteraan ukhrawi sahabatnya yang lain. Ini terbukti dan banyak diceritakan dalam sejarah.

Sewaktu penghijrahan kaum Muhajirin dari Mekah ke Madinah dalam keadaan sehelai sepinggang, tanpa harta, tanpa bekalan makanan yang cukup, malah ada diantara mereka berhijrah tanpa keluarga kerana keluarga mereka masih memusuhi Islam. Maka persahabatan yang lahir dari asas keimanan yang mantap di kalangan kaum Ansar dan Muhajirin, telah membuktikan ikatan ukhwah yang terbina melangkaui kepentingan duniawi. Diriwayatkan di dalam sejarah, kekurangan yang dimiliki kaum Ansar, dilengkapi oleh kaum Muhajirin. Kaum Ansar yang tiada rumah, diberikan rumah oleh kaum Ansar. Kaum Ansar yang tidak berharta, kaum Muhajirin menghadiahkan separuh harta mereka kepada kaum Ansar. Malah tercatat dalam sejarah, kaum Ansar yang kehilangan keluarga, kaum Muhajirin mengambil mereka sebagai keluarga angkat. Inilah ikatan ukhwah yang lahir dari rasa keimanan yang kental.

Begitu juga kisah 3 sahabat yang cedera di medan jihad fi sabilillah. Seorang sahabat yang cedera kehausan air. Dibawa air oleh perawat untuk diminum. Baru hendak meneguk air tersebut, dia terdengar seorang sahabatnya mengerang kesakitan. Di suruhnya tukang rawat memberikan air tersebut ke sahabatnya yang mengerang tadi. Atas alasan ...."sahabat ku itu sedang nazak, dia lebih memerlukan air ini"..... Apabila perawat membawa air kepada sahabat yang kedua, baru hendak diteguk, terdengar pula erangan kesakitan dari seorang lagi sahabat. Sahabat kedua menyuruh perawat itu membawa air tersebut kepada sahabat yang ketiga. Atas alasan .... "mungkin sahabat ku itu lebih memerlukan"....Setibanya perawat kepada sahabat yang ketiga, sahabat tadi telah pun dijemput Allah kembali sebagai syuhada. Perawat itu kembali ke sahabat yang kedua, sahabat tadi juga telah menemui syahid. Apabila perawat yang membawa kantungan air menemui sahabat yang pertama, dia juga telah kembali ke pangkuan Allah. Inilah nilai persahabatan. Bersahabat demi Allah dan Rasul. Bersama-sama merintis jalan keimanan. Bersama-sama menderita di medan perjuangan. Bersama-sama dinobatkan sebagai syuhada. Semata-mata agar Islam diagungkan dan dimuliakan.

Saudara-saudari yang saya hormati sekelian. Apakah kita sudah mencapai ke tahap persahabatan yang sebegini ? Andainya adalah orang yang mengatakan bahawa bahawa dialah sahabat sejati, katakanlah kepadanya, ....."Andainya engkau belum diuji di atas pengorbanan mu di jalan kebenaran, janganlah sesekali mengaku sebagai seorang sahabat. Cukuplah sekadar mengaku sebagai seorang kenalan."

Atas dasar ukhwah yang bertunjangkan keimanan, maka akan lahirlah kefahaman dan keselarasan dalam tindakan, perbuatan dan percakapan.

Bila lahir kefahaman dan keselarasan, yang diharamkan Allah diterima bersama dan di perangi bersama. Yang halal diterima bersama dan diamalkan bersama dan diperjuangkan bersama. Maka di situlah langkah-langkah perjuangan bermula. Dan dari situlah keindahan perjuangan Islam terserlah. Sahabat-sahabat sejati yang saling bertolong bantu dalam menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran. Sahabat-sahabat sejati yang saling lengkap-melengkapi. Sahabat-sahabat yang saling tegur-menegur antara satu sama lain. Teguran dibuat dengan terang dan jelas. Teguran diterima dengan hati terbuka menjurus kepada pembaikan dan penyempurnaan peribadi. Tiada lagi hasad dengki dan buruk sangka. Tiada lagi istilah kawan makan kawan atau tikam kawan dari belakang. Tiada lagi hasrat memperalatkan kawan dalam menyembunyikan kemungkaran. Tiada lagi manusia yang terpaksa menggadaikan prinsip demi menyembunyikan kemungkaran kawan. Bersama-sama seiring dan sejalan dalam melaksanakan titah perintah Allah dan menjauhi larangan Allah. Susah senang bersama, tangis menderita juga bersama.

Bukanlah persahabatan sejati itu bersahabat sehingga kita tidak menghalang kenalan dari melakukan kemungkaran. Tetapi sahabat sejati ialah menegur kesalahan kenalan atas dasar agama, agar masa depan akhiratnya terselamat dari siksaan api neraka.

Maka carilah sahabat-sahabat sejati yang mampu melahirkan rasa ukhwah. Semoga dengan kekuatan yang lahir dari ukhwah tersebut menjadi penghibur kita di kala duka. Menjadi pendorong untuk kita terus berjuang dan berkorban.


Panelis 1 : Dalam perjuangan, agak ekok dan lari dari uslub Rasulullah jika seseorang tidak mempunyai sahabat. Tidak salah kalau saya katakan, andainya sesiapa yang berjuang tanpa mempunyai sahabat, maka perjuangannya adalah bida'ah. Sebab Rasulullah berjuang bersama-sama para sahabat. Dan perjuangan merupakan suatu yang ibadah yang wajib dan dituntut oleh Islam. Tanpa perjuangan, takkan berkembang agama.

Sahabat yang dimaksudkan disini adalah seperti yang dihuraikan oleh saudara saya tadi. Mereka yang sanggup susah dan senang bersama dalam perjuangan. Yang berkorban dan terkorban semata-mata kepentingan Islam. Jadi yang banyak dan ramai ketika ini adalah manusia yang berjuang bersama-sama kawan-kawan atau kenalan dan bukannya sahabat. Dia banyak kawan, bukannya banyak sahabat. Sebab itu dia selalu kesepian dan rasa keseorangan dalam perjuangan, sebab dia berjuang menegakkan yang Islam, tetapi kawannya berjuang meruntuhkan Islam. Oleh itu adalah penting bagi seseorang dai'e untuk mempunyai sahabat, agar akan wujud kekuatan ukhwah yang bakal menjadi pendorong untuk dai'e meneruskan perjuangan walau di dalam kesukaran.

Kita juga tidak memerlukan kawan-kawan yang manis mulut bila berhadapan dengan kita tetapi bila di belakang dia memburukkan kita. Adalah lebih baik, dia menceritakan keburukan kita di depan kita, agar kita mampu mengambil iktibar dari kata-katanya seterusnya membuat perubahan ke arah yang diredhai Allah.

Kita sekarang sering tertipu. Kita sangka orang yang sering memuji dan memuja kita itulah sahabat kita. Dan kita sangka orang yang marah dengan maksiat yan kita lakukan adalah musuh kita. Belum berjuang sudah kena tipu. alau berjuang , lagi teruk kena tipu. Yang paling teruk, bila waktu sakaratul maut, waktu syaitan datang berbondong-bondong untuk berusaha menyesatkan manusia kali terakhir, lagilah akan terus kena tipu.

Jadi usahakanlah agar kawan saudara dinaikkan tarafnya kepada taraf sahabat. Andai rakan atau kawan kita tidak mampu mendidik untuk menjadi sahabat, agak sukar untuk ita mendidik masyarakat di luar sana.

Dalam sesebuah jemaah atau gerakan, ada terdapat banyak ruang untuk mendidik rakan untuk menjadi sahabat perjuangan. Ia juga membantu dalam memupuk ikatan ukhwah sesama ahli. Antara yang wajib dilaksanakan untuk memupuk ukhwah adalah :

Pertama : Sama-sama mentaati perintah Allah. Yang disuruh diamalkan. Yang Allah larang, sama-sama tinggalkan. Kalau syarat pertama ini gagal dilaksanakan bersama, jangan mimpi akan wujud ukhwah sesama sendiri. Jangan harap kawan akan berubah menjadi sahabat.

Kedua : Sama-sama mengikuti program yang telah ditetapkan oleh jemaah. Andainya ada keuzuran. Maklumkan kepada kawan yang lain agar tidak lahir syak wasangka disamping mencetus program ziarah menziarahi.

Ketiga : Menghapuskan jurang perbezaan sesama ahli jemaah. Jika ada diantara ahli yang kaya, bantulah ahli yang miskin sebagaimana Abdul Rahman Bin Auf membantu sahabat-sahabat yang miskin. Jika ada diantara ahli yang bijak dan berilmu, salurkanlah ilmu kepada ahli yang tidak berilmu. Dan begitulah seterusnya proses menghapuskan jurang perbezaan.

Keempat : Tidak malu meminta dan memberi maaf

Kelima : Nasihat menasihati dan tegur-menegur. Anggaplah teguran yang diberi adalah salah satu jalan untuk memperbaiki diri dan bukannya jalan untuk memusuhi.

Keenam : Memperbanyakkan program ziarah menziarahi.Untuk mengetahui keadaan kawan kita sama ada dia sihat atau ada masalah dan sebagainya.

Dari keenam-enam program ini akan mampu menguatkan ukhwah sesama ahli. Lantas akan meningkatkan taraf seorang kawan sebagai seorang sahabat.

Suluhlah diri dan jemaah kita. Apakah kita sudah mampu melaksanakan tuntutan ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home