Forum Antara Benua

Friday, February 24, 2006

Forum Part 12

Forum Dunia Islam Antara Benua Anjuran Bekas Pelajar MRSM
Tarikh - Masa : 4 Feb'06 - 6 am (Malaysia) / 4 Feb'06 - 8am (Australia) / 3 Feb'06 - 11pm (France) / 3 Feb'06 - 10pm (Ireland) / 3-4 Feb'06 - 12midnite (South Africa) / 4 Feb'06 - 3am (Uzbekistan)
Tempat : Chat room Eagropharma (Private Conference )
Tajuk : Manhaj Perjuangan Rasulullah SAW
Perantara : eagropharma
Panelis :
1. heros_de_france (France-xmrsmjasin SPM 1985)
2. drzali911 (Ireland – xmrsmjasin SPM 1987)
3. naga_lawan_otromen (Australia – xmrsmjasin SPM 1990 )
Soalan : Kita dapat rasai gerakan Islam semakin rancak apabila diuji. Sebagai contoh, apabila berlakunya sebuah akhbar di Denmark, masyarakat Islam seluruh dunia mengutuk perbuatan mereka. Namun suatu ketika dulu, antara gerakan Islam yang mahsyur dalam memperjuangkan syariat ialah gerakan sufi. Tetapi kini gerakan sufi tersebut nampak berkubur. Mereka yang terlibat dengan gerakan sufi, secara zahirnya kita akan nampak kesudahan mereka menjadi salah satu, sama ada mereka jadi jumud atau menjadi sesat. Saya ingin minta maaf kepada bekas-bekas Arqam yang mengikuti forum ini. Tapi saya terpaksa bangkitkan juga agar pegangan kita jelas. Bagi mereka yang sesat yang menyalahi syariat seperti yang ditunjuukkan oleh gerakan Al Arqam yang sanggup berdusta atas nama Nabi, untuk memang patut kita kategorikan sebagai musuh umat Islam. Tapi bagi gerakan sufi yang terus jumud dan hanya fikir untuk jaga hati sampai tidak mahu menegur kemungkaran, bagaimanakah cara yang harus kita hadapi ?
Panelis 1 : Pertama saya hendak betulkan persepsi saudara. Mereka yang tunjuk kononnya sufi, sampai tidak mahu berjuang. Yang kerja nak zikir wirid, tak mahu campur dengan orang. Yang kerja uzlah seorang diri, tak mahu campur orang, tak mahu campur masyarakat dan perbaiki kerosakan masyarakat. Itu bukan gerakan sufi sebenarnya. Itu adalah gerakan sami. Gerakan sufi yang saya tahu merupakan gerakan yang amat peka kepada hukum-hakam Allah. Yang kerja fikirkan diri sendiri ini bukan sufi, tetapi tok-tok sami. Tak percaya try pergi ke kuil atau tokong, tanya tok sami dia berkenaan hal ehwal ekonomi dan jenayah sosial. Mereka tak boleh nak jawab. Mereka tak ambil kisah.
Mengapa jadi kejumudan sebegini dalam gerakan sufi ? Tidak lain dan tidak bukan ialah salah menyalurkan maklumat. Kalau jumud disebabkan salah maklumat, bukan setakat di kalangan sufi sahaja, di kalangan tidak sufi pun banyak berlaku. Yang paling teruk, maklumat yang disalur bukan setakat menjadikan jumud, tetapi menjadikan orang yang mendapat maklumat tersebut terpesong dari jalan yang benar.
Memang betul dalam gerakan sufi ada uzlah, ada zikir wiridnya, ada disiplin-disiplin ibadahnya. Tetapi untuk apa itu semua ? Untuk kita menyucikan hati kita. Untuk apa kita menyucikan hati kita ? Untuk kita mendapat kasih sayang Allah. Tetapi kalau kita hendak sucikan hati, tetapi kita tidak perbaiki kerosakan masyarakat, bolehkah hati kita jadi suci ? Sebab kita hidup didunia ada tuntutan fardhu kifayah. Kalau kita tidak perbaiki kerosakan masyarakat, bagaimana kita hendak tegakkan fardhu kifayah ? Kalau fardhu kifayah tidak tertegak, kita berdosa. Kalau berdosa, bagaimana hati hendak suci ? Hendak makan, kena makan makanan kilang kafir. Hendak belajar, kena belajar dari tok guru kafir. Hendak beranak terpaksa mengadap doktor lelaki yang kafir. Hendak berhibur, kena tempuh hiburan yang haram. Jadi bagaimana hati hendak suci kalau hanya fikir tentang diri sendiri ?
Sebab itu maklumat yang betul kena disalurkan kepada semua tak kira gerakan sufikah atau gerakan tidak sufi. Sifat jumud terhasil, sebab maklumat yang dimiliki oleh orang tersebut adalah salah. Dia ingat, kalau jadi sufi, kena sabar. Kalau tengok orang buat maksiat pun kena sabar. Kalau tengok orang buat mungkar kena sabar. Tak boleh tegur. Tak boleh nasihat. Kena sabar. Agaknya hendak tunggu anak bini dia kena perkosa, baru dia nak sedar dari sifat sabarnya yang jumud. Agaknya bila, anak bininya kena perkosa, dia pun buat kesimpulan, ajaran sufi ni tak betul sebab suruh orang sabar walaupun anak bini kena perkosa. Sedangkan, yang salah bukan ajaran sufi. Yang salah ialah maklumat yang dia perolehi adalah salah. Dan dia berpegang pada maklumat yang salah.
Kepada saudara-saudari sekelian. Dalam apa juga tindakan dan amalan, kesemuanya bermula dengan ilmu. Sebab itu, pelajarilah dan lengkapkanlah diri dengan ilmu fardhu ain. Ilmu tersebutlah yang boleh membantu kita menilai antara maklumat yang benar dan maklumat yang salah. Kejumudan berlaku sebab maklumat yang diperolehi adalah salah. Maklumat yang salah dijadikan pegangan sebab ilmu fardhu ain tak lulus. Oleh itu perkemaskanlah ilmu fardhu ain kita. Tidak rugi kita perkemaskannya walaupun usia kita dah melewati usia baru baligh.
Panelis 2 : Saya menyokong jawapan saudara hero. Setahu saya yang kuat berjuang dan perbaiki masyarakat yang rosak ialah gerakan sufi. Kalau mereka mengaku sufi tetapi jumud, itu bukan dari gerakan sufi.
Saya boleh menyenaraikan gerakan sufi yang berjuang. Antaranya :
1. Imam Bonjol di Sumatera yang memerangi Belanda adalah seorang sufi dari aliran Naqsyabandiah
2. Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok Gajah adalah anak murid kepada Tok Ku Paloh. Tok Ku Paloh adalah dari Aliran Naqsyabandiah
3. Begitu juga Haji Mat Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut, beliau adalah dari aliran Ahmadiah
4. Omar Mokhtar yang lebih dikenali sebagai Lion of The Desert di Libya dari aliran Syazaliah melalui gerakan As Sanusi
5. Kahar Muzafar pejuang kemerdekaan melawan Belanda di Sulawesi adalah dari aliran Samaniah.
Dan banyak lagi kelompok-kelompok kecil gerakan sufi yang sama-sama berjuang menentang penjajah. Mereka memulakan penentangan setalah mereka sedar, masyarakat dizalimi dan dirosakkan oleh anasir-anasir jahat yang tidak bersyariat.
Jadi. Jika ada yang mengaku sufi, tetapi tidak seperti gerakan sufi yang berjuang mempertahankan syariat dalam masyarakat, ini sudah tidak sufi sebenarnya. Konon ingin jadi seorang penyabar, tetapi dia menjadi seorang yang tamak. Tamak ke atas diri sendiri dan tidak mahu berkongsi nikmat bersyariat bersama-sama masyarakat. Sufikah ini ?
Panelis 3 : Apabila kita memperkatakan tentang sufi, kita tidak boleh lepas lari memperkatakan tentang thoriqah. Atau dalam slang Melayunya, tarekat.
Tarekat ada dua makna, berdasarkan dua jenis hukum asalnya. Ada dua jenis hukum yang melibatkan tarekat. Hukum pertama ialah wajib. Hukum kedua ialah asalnya sunat.
Pengertian tarekat yang wajib dalam ialah kita mengamalkan ilmu syariat yang wajib diamalkan yang haram ditinggalkan. Yang sunat diusahakan untuk diamal, yang makruh diusahakan untuk ditinggal. Inilah tarekat menurut pengertian pertama yang hukumnya wajib ain.
Pengertian kedua tarekat, yang hukum asalnya adalah sunat. Ialah apabila disusun ayat-ayat Al Quran tertentu, disusun selawat-selawat tertentu, disusun zikir-zikir tertentu dan doa-doa tertentu, lalu diamalkan secara berjadual dan berdisiplin. Inilah dinamakan tarekat dari pengertian kedua yang hukum asalnya sunat.
Jadi orang yang bergerak di dalam gerakan sufi, kenalah tahu bezakan antara keduanya. Mereka yang bergerak melalui gerakan sufi kena faham, mereka ingin menyucikan hati untuk menghampirkan diri dengan Allah. Antara kaedah untuk sucikan hati bukan setakat zikir wirid yang berbentuk peribadi, sampai lupakan masyarakat. Tengok masyarakat buat mungkar, dia kata dia itu sabar. Sabar tidak bertempat. Gerakan sufi ada jugak bab uzlah, iaitu menyendirikan diri untuk beribadah, tetapi bukan untuk selamanya. Pada pengamatan saya, orang sufilah yang paling kuat bergaduh. Orang sufilah yang paling banyak berperang. Sebab apa ? Sebab dia tak boleh tengok hukum Allah dibuat main-main. Tak boleh tengok orang tafsir Quran dan hadith guna kepala otak yang jumud. Sebab kecintaan dia hanya kepada Allah SWT. Perlanggaran hukum Allah, bermakna perlanggaran hukum yang dicipta oleh yang teramat dia sayangi iaitu Allah SWT. Pantang dia jumpa macam itu. Kalau jumpa, alamat berperanglah jawabnya.
Uzlah untuk mendidik jiwa jadi kuat. Bila sudah kuat, terus terjun ke tengah masyarakat dan perbaiki masyarakat. Barulah diri akan jadi lebih hampir dengan Allah. Kadang-kadang ada individu dalam gerakan sufi yang begitu. Yang menyalah tafsirkan tentang kesufian. Maka orang label keseluruhan gerakan sufi begitu. Sebab itu ada gerakan sufi, dia hendak ambil ahli, dia saring kaw-kaw. Kalau boleh mencacatkan gerakan, dia hantar dulu orang yang jadi ahli itu untuk diproses. Tak hairan, ada orang yang kena cuci tandas, kena marah, kena buat tugas berat, kena minta sedekah dan lain-lain lagi. Kalau dilihat orang tersebut tak kemas ilmu fardhu ain, diberi ilmu fardhu ain. Ini main ambil ahli tak kira macam mana perangai, kemudian gagal untuk mendidik mereka, itu yang jadi sesat.
Arwah datuk saya pernah menceritakan tentang Sultan Muhammad Al Fateh. Sultan Muhammad Al Fateh adalah anak kepada Sultan Murad, sultan yang memerintah empayar Islam Osmaniah. Sultan Murad, ayah kepada Muhammad Al Fateh meruapakan seorang ahli sufi dari aliran Syazaliah. Dia memerintah dengan adil dan saksama dan menjadikan alim-ulamak sebagai para penasihatnya. Dia membesarkan anaknya dalam suasana kesufian. Tatkala Sultan Murad ingin beruzlah untuk mencari kekuatan jiwa, maka Muhammad Al Fateh lah yang menjadi pemangku Sultan memerintah empayar. Dan setelah Muhammad Al Fateh mengambil tampukpemerintahan dari allahyarham ayahnya, dia juga menjadikan disiplin beruzlah untukmenjana kekuatan jiwa dalam berhadapan permasalahan pemerintahan yang menjadi wasilah baginya untuk mentaati titah perintah Allah.
Sewaktu dia berusia 13 tahun, pernah ayahnya pergi beruzlah. Takhta pemerintahan diserahkan kepadanya. Antara arahan pertama yang dikeluarkan sebagai pemangku Sultan ialah untuk mengumpulkan kesemua para menterinya dan para panglima perang dan berucap ".... Guru ku Sheikh Shamsuddin Al Wali ada mengajarku akan sebuah hadith dari lidah Rasulullah SAW sewaktu menggali parit dalam peperangan Khandak bahawa Kota Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Sejak itu berlumba-lumbalah para sahabat untuk mengsahihkan hadith tersebut. Hinggalah sahabat yang terakhir yang hidup dimuka bumi, Abu Ayub Al Ansari radiallahuanhu. Namun beliau juga tidak ditakdirkan untuk membuktikan kebenaran hadith Rasulullah SAW. Begitu juga usaha yang dilakukan oleh para tabiin. Sehingga kini, kota Konstantinople masih digenggam Nasrani. Hari ini hari pertama aku menjadi pemimpin kalian, dan arahan aku sebagai pemimpin kalian ialah untuk membuktikan kesahihan hadith tersebut. Andainya kamu bersama-sama ku, jadilah sahabat ku yang bersama-sama dengan aku, sehidup semati demi kebenaran ucapan Rasulullah SAW. Jika kamu berpaling dan memusuhi Muhammad Bin Abdullah yang menjadi kecintaan ku, tunggulah akan ku perangi kamu walau nyawa ku dijadikan taruhan...."
Ucap tama Muhamamd Al Fateh sewaktu hari pertama dia memangku jawatan Sultan, telah meniup semangat jihad di kalangan para menteri danpara panglimanya. Mereka tahu akan kesungguhan budak berusia 13 tahun yanmg pendiam, tegas tetapi tawaddhuk itu untuk mencapai cita-citanya untuk membuktikan kesahihan hadith. Sejak hari itu mereka terus merancang dan merancang dan membuat persediaan. Pada usia Muhammad Al fateh menjangkau 19 tahun, dia telah mengambil tampuk pemerintahan Kerajaan Osmaniah sepenuhnya dari almarhum ayahnya. Maka usaha dalam merancang penaklukan kota Konstantinople makin dipergiatkan. Perancangan bukan setakat dari segi mengatur strategi peperangan, malah juga dalam memilih tentera-tentera agar tentera yang dipilih bersifat "tentera yang sebaik tentera". Akhirnya setelah 3 tahun pemerintahannya,Kota Konstantinople berjaya ditakluk oleh Muhammad Al Fateh.
Namun walau telah berjaya menakluk Konstantinople. Sifatnya yang tawaddhuk dan rendah diri tidak menjadikan dia seorang yang ego, riyak atau pun ujub. Hari pertama penaklukannya, dia mengubah Gereja St Sophies,menjadi Masjid Aya Sophia. Sewaktu solat Jumaat dilaksanakan buat pertama kali di Konstantinople, sebagai pemimpin, ditawarkan jawatan Imam kepada rakyat-rakyatnya, sedangkan dialah yang selayak menjadi Imam buat rakyatnya.
Sejarah membuktikan, Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk.


Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Raja yang sebaik-baik raja bersama tentera yang sebaik-baik tentera seperti yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya. Hadithnya hanya disahihkan oleh Muhammad Al Fateh setelah 800 tahun Rasulullah SAW menlafazkannya.
Ucapan-ucapan dan sifat tawaddhuk Muhammad Al Fateh ditulis sejarah dan diarkibkan sebagai panduan orang yang terkemudian. Inilah gerakan sufi yang sebenar. Walau memegang jawatan yang tinggi, namun hatinya tetap seorang hamba. Walaupun kejayaan demi kejayaan yang ditempuh olehnya, namun dia masih merasakan masih ada orang yang layak menjadi Imam darinya. Sanggup mengorbankan masa, tenaga dalam mencari sahabat-sahabat yang sanggup berhadapan dengan maut, demi mengsahihkan hadith Nabi. Dirinya tidak pernah berpuas hati dengan pencapaiannya. Ada saja yang ingin dilakukan, demi Islam dan syiarnya.
Nah lihatlah ke dalam diri kita. Apakah kita sudah menjadi sebaik-baik Tok Naqib dan kenalan-kenalan kita sudah menjadi sebaik-sebaik sahabat ? Dalam realiti yang kita temui, kitalah sejahat-jahat manusia yang berlakon kononnya kitalah sebaik-baik manusia. Kenalan-kenalan kita pula bermuka-muka dengan kita. Depan kita tunjuk lebai, belakang kita merekalah yang menjadi sang kelembai.

1 Comments:

  • At 10:19 PM, Blogger reflective pen said…

    i'm a Buddhist and i'm amazed to read about the comments about 'penyembah berhala'. 'Bersusah payah membuktikan kebenaran kesesatan mereka'? What kind of ideologies are you spreading here?Can non-Muslims be treated like fellow humans? We don't believe in your religion either but never have monks of my religion use such harsh language to describe your religion.Can you verify what you practice as THE ONE & ONLY TRUTH?U can't,neither can i.But we feel certain degree of spiritual joy when we practise our religions.Practise what we think is true,but do not degrade others.Degrading other religions will impede your spiritual growth.

    The comment on 'tok sami' is not true.Monks are suppose to be the force to uphold morality and spiritual values in the community.They do not isolate themselves from the world,but rather work actively to uplift the community from social ills.They ONLY DETACH THEMSELVES FROM ILLS OF THE MIND EG. GREED, HATRED & DELUSION.

     

Post a Comment

<< Home