Forum Antara Benua

Friday, February 24, 2006

Forum Part 13

Forum Dunia Islam Antara Benua Anjuran Bekas Pelajar MRSM
Tarikh - Masa : 4 Feb'06 - 6 am (Malaysia) / 4 Feb'06 - 8am (Australia) / 3 Feb'06 - 11pm (France) / 3 Feb'06 - 10pm (Ireland) / 3-4 Feb'06 - 12midnite (South Africa) / 4 Feb'06 - 3am (Uzbekistan)
Tempat : Chat room Eagropharma (Private Conference )
Tajuk : Manhaj Perjuangan Rasulullah SAW
Perantara : eagropharma
Panelis :
1. heros_de_france (France-xmrsmjasin SPM 1985)
2. drzali911 (Ireland – xmrsmjasin SPM 1987)
3. naga_lawan_otromen (Australia – xmrsmjasin SPM 1990 )



Soalan : Kalau dilihat secara perbandingan, gerakan-gerakan yang anti-Islam berkembang agak pantas berbanding Islam. Di waktu yang sama, orang-orang yang memimpin gerakan Islam agak mundur kebelakang dalam mendekati masyarakat. Apa komen ahli panel ?

Panelis 2 : Komen saya mudah. Kalau kita hendak pantas, bawa kereta kita 300km/jam. Kalau kita ingin lewat kita pandu kereta kita 40km/jam. Begitulah dengan perjuangan. Kristian itu gerakan mereka tidak hebat. Kalau nak dibandingkan dengan kereta, Kristian hanya bergerak 80km/jam. Islam yang hebat sebenarnya. Kita mampu pergi lebih pantas dan laju dari 300km/jam. Tetapi kita cuma pandu 40 atau 30km/jam. Sebab itu kita kata Kristian dan gerakan musuh Islam laju dan pantas. Cuba kita bawa kereta kita laju-laju. Kita boleh overtake kereta yang dipandu 80km/jam.

Dalam Islam, umat Islam dibekalkan dengan Al Quran dan Sunnah. Kedua sumber ini dengan panduan ulamak mujtahidin mampu mengungkai segala persoalan kehidupan. ISO ke, JCIA ke, GMP ke, USFDA ke, semua tidak boleh tanding jawapan kehidupan yang telah dibentangkan dalam Al Quran dan Hadis. Tapi sayangnya, gerakan Islam tidak mahu guna Al Quran dan Hadith kesemuanya. Mereka guna untuk juzuk-juzuk tertentu saja yang boleh untungkan dunia dia dalam gerakan Islam. Gerakan Islam banyak guna pendekatan ambil hati dan bukannya dari hati. Tak percaya cuba lihat di Malaysia, apabila menteri-menteri yang kafir, termasuklah Sisters In Islam hantar memorandum pasal akta Islam kepada Pak Lah. Apa reaksi pemimpin Islam yang lain ? Semua senyap. Yang lebih memalukan, ada seorang Menteri yang Islam pun sokong sama. TV3 siap panggil Sister In Islam untuk diwawancara sebab anak Perdana Menteri adalah orang kuat Sisters In Islam. Dengan nada bangga, Sisters In Islam isytihar ....."tak patut semua negeri-negeri di Malaysia hanya membenarkan kuasa talaq diberi kepada kaum lelaki. Kena bagi juga kuasa talaq kepada kaum wanita".... Al Quran dan Hadith mana yang dia ikut ini ? Bila Pak Lah kata dia no komen sebab bukan kuasa dia yang buat keputusan tetapi kabinet. Cuba bayangkan kalau kabinet Malaysia dikuasai oleh kafir musyrik dan munafik. Hancur umat Islam Malaysia. MCA, MIC, GERAKAN, PPP semua tak mahu anak-anak diajar tentang Islam sehingga umur 18 tahun. Semua tak mahu anak-anak bertudung sebab mempersendakan agama lain.

Begitu juga tadi ada orang bertanya pasal nak tegur dosa besar dulu, dosa kecil tidak priority. Al Quran dan Hadith mana yang dia ikut ? Nabi mana yang dia ikut ? Nak tegur dosa, tak kira besar atau kecil. Yang penting berlaku depan mata kita kenalah tegur. Kalau tidak mampu tegur, janganlah ajar ahli-ahli dengan ajaran sesat yang begitu untuk tutup kelemahan diri. Kena berterus-terang dengan ahli-ahli. Nyatakan dengan jujur kepada ahli-ahli bahawa diri tidak mampu hendak tegur sebab yang buat itu keluarga saya, atau yang buat itu kawan saya. Mana tahu akan ada orang yang mampu tegur bagi pihak dia. Ini tidak. Untuk tutup kelemahan diri sanggup buat ajaran sesat. Kalau orang yang mengaku berjuang Islam pun begini, bagaimana pula dengan orang yang tidak berjuang ?

Akal dan fikiran pemimpin gerakan Islam pun tak ubah macam akal dan fikiran kafir musyrik dan munafik. Sebab itulah perjuangan tak berjaya dan lembab. Kesimpulan yang boleh saya buat, jangan salahkan musuh sebaliknya salahkanlah diri sendiri kerana usaha dan ikhtiar kita masih belum setimpal dengan matlamat yang hendak kita capai.

Panelis 1 : Saya nak tanya. Mengapakah jadi begitu ? Mengapakah perjuangan Islam yang sememangnya hak, yang sememangnya akan dijanjikan syurga oleh Allah, yang sememangnya suatu kemuliaan bagi orang yang berjuang di dunia dan di akhirat, tetapi gerakannya agak slow ? Mengapa ? Ada sesiapa boleh menjawab ? Sila ambil mic.

Tak ada ?

Sila ambil mic. Saya tunggu ni..

Tak ada ?

Jawabnya mudah saja. Sebab orang yang berjuang terlalu yakin bahawa perjuangannya telah berada di jalan kebenaran dan sudah rasa aman dan selamat dengan usaha mereka walaupun kalau dinilai dari segi ilmiah dan zahiriah, masih banyak cacat dan cela dalam gerakan mereka.

Satu pengakuan yang amat susah sekali untuk ditelan oleh orang yang berjuang, yang mengaku mengikuti manhaj perjuangan Rasulullah ialah mengakui bahawa uslub perjuangan yang diamalkannya adalah gagal dan tidak berkesan.

Mana tidak gagalnya. Sebab kita menyempitkan istilah perjuangan. Kita letakkan batu penghalang di jalan yang hendak kita lalui untuk mencari syahid walaupun kita belum lagi menapak di jalan jihad. Belum pun kita dilanda serangan dari musuh Islam, kita sudah sempitkan perjuangan kita. Kita kata dakwah di alam cyber terbatas dan terhad, sedangkan kafir Kristian mengkristiankan beratus-ratus orang sehari melalui alam cyber.

Perjuangan kita di alam cyber ini banyak berteori. Mentang-mentang kita baca banyak buku. Boleh quote nama penulis. Sayangnya itu semua hanya teori. Kita sendiri tidak pernah terjun secara langsung ke medan dakwah. Kalau ada pun program dakwah, itu pun hanya sekadar ceramah dan kuliah. Saya tak kata ceramah dan kuliah itu tidak perlu. Ianya perlu, tepi bukan setakat itu saja. Kita kena atur, hasil dari kuliah dan ceramah yang kita buat, akan melahirkan orang-orang yang faham dan yakin dengan Islam seterusnya mereka akan beramal. Bila mereka sudah beramal, kita ajak pula mereka berjuang agar ilmu yang mereka ada dapat dikembangkan ke seluruh pelusuk alam.

Kepada saudara-saudari yang bergerak dalam jemaah-jemaah mereka. Janganlah disalahkan musuh kita kerana memang kerja mereka untuk menyesatkan manusia dari jalan kebenaran. Sebaliknya salahkanlah diri kita kerana tidak bersungguh di atas jalan dakwah.

Cuba kita buat post mortem.

Analisa semula teknik dan strategi perjuangan kita. Apakah teknik dan uslub yang kita gunakan selaras dengan syariat Islam dan berjalan di atas manhaj yang ditunjukkan dalam perjuangan Rasulullah SAW ?

Tanya pula diri kita, dalam perjuangan kita apakah kita sudah mampu untuk melahirkan contoh ? Dakwah secara perbuatan adalah lebih berkesan dari dakwah secara lisan. Untuk melahirkan contoh, kenalah kita beramal dan berdakwah secara lisanul hal, dakwah secara perbuatan. Menzahirkan keindahan Islam dalam amalan kehidupan kita.

Analisa dan hisab diri kita, apakah peribadi kita sendiri tunduk dan patuh dengan titah perintah Allah dan menjauhi larangan Allah ? Kalau kita sendiri masih melakukan dosa kemungkaran, atau kenalan kita yang sama-sama kata mahu berjuang, mereka melakukan kemungkaran dan kita tidak mampu untuk menegur dan merobah mereka. Bagaimana kita ingin melahirkan contoh kepada masyarakat yang kita ingin dakwah ?

Tanya pula diri kita, apakah kita dari golongan yang suka bermusuh dan menabur sifat poermusuhan sesame Islam ? Mentang-mentang ada satu jemaah lain yang cara dan uslub mereka tidak sama dengan jemaah kita, maka kita isytihar untuk bermusuh. Kita tuduh orang yang masuk ke jemaah tersebut sebagai salah dan jemaah itu yang wujud adalah salah dan haram. Ini walaupun kita tidak mengaku ianya kenyataan ingin berperang, tapi sikap yang ditunjukkan adalah sikap inginkan permusuhan. Kalau permusuhan yang dicari, bagaimana kita ingin tunjukkan contoh ukhwah dan kasih saying kepada masyarakat ?

Kalau kita jadi naqib pula, apakah kita telah kikis segala kelemahan yang ada pada diri kita dan usahakan untuk memperkemaskan dan melengkapkan diri kita dengan sifat-sifat kepimpinan yang telah kita bincangkan tadi ? Kalau kita yang jadi naqib pun tidak mempunyai kekuatan dan karisme, bagaimana anak buah akan menjadikan kita contoh teladan ? Sebab itu anak-anak buah bermuka-muka dengan kita.

Panelis 3 : Kalau kita masih ketinggalan jauh di belakang pejuang-pejuang kemungkaran, itu tanda uslub kita bukan uslub Rasulullah SAW. Itu juga tanda uslub perjuangan kita tidak global. Itu juga tanda kepimpinan kita bermasalah.

Saudara dan saudari cuba tanya kepada diri sendiri. Apakah matlamat perjuangan jemaah aku ? Tanya pula apakah mekanisme yang akan digunapakai dalam mjencapai matlamat ? Tanya lagi apakah peranan yang sepatutnya aku lakukan dalam perjuangan ini ?

Jawapan kepada setiap pertanyaan tadi merupakan doktrin sebuah perjuangan. Kalau tok naqib tidak mampu mendoktrinkan anak-anak usrah dengan doktrin yang dilagang dari Al Quran dan Hadith, tidak mustahil anak-anak usrah tidak tahu matlamat perjuangan. Sebab itu anak-anak usrah ada yang masih main-main dalam perjuangan.

Seperkara lagi yang ingin saya sentuh ialah sikap kita tentang perjuangan. Perjuangan untuk menegakkan hukum-hakam Allah adalah suatu perjuangan yang bukan bercorak part-time. Bila ada masa baru berjuang. Kalau tak ada masa, lantaklah nak jadi apa. Ramai yang ada sekarang ini,melayan perjuangan sebagai hobi mengisi masa lapang. Sebab itu banyak berteori dari praktikal. Sebab itu banyak membebel dari beramal untuk melahirkan contoh. Sebab itu boleh berburuk sangka dengan orang yang berhasrat untuk melahirkan contoh. Sebab apa ? Sebab mazmumah dalam hati masih tebal.
Kadang-kadang kita malu. Sebab penyembah-penyembah berhala, sanggup bersusah-payah untuk menjadi vegetarian, tak berkhawin dan tak campur masyarakat, semata-mata untuk membuktikan kesesatan yang mereka lakukan adalah kebenaran. Tetapi kita yang muslim ini, kita percaya bahawa Allah itu esa, kita percaya Muhammad Bin Abdullah itu Rasul yang diutuskan Allah dan rahmat buat seluruh alam, tetapi kita masih main-main dalam perjuangan. Kita masih iri hati dengan pencapaian sahabat kita yang berjaya di dalam usaha mereka.

Mengapa terjadi begini ? Tidak lain dan tidak bukan ialah keimanannya dengan Allah telah cacat. Keimanannya kepada hari akhirat yang menjanjikan pembalasan yang baik dan pembalasan yang buruk telah cacat. Dia menjadikan perjuangan Islam sebagai alat escapism untuk menyembunyikan kelemahan dirinya yang dia sendiri tidak dapat atasi. Dijadikan pelbagai alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menyembunyikan kejumudan dan kelemahan diri. Maka sebab itulah perjuangan menjadi lembab.

Jalan keluar kepada permasalahan ini. Pertama sekali ialah taubat. Sebab apa yang telah mereka lakukan adalah dosa kerana meletakkan perjuangan berdasarkan hawa nafsu dan bukan atas dasar iman. Langkah seterusnya ialah memperkemaskan diri dengan ilmu fardhu ain dan beramal dengannya. Dengan ilmu tersebut banyakkan tafakur agar membuka hati dan akal untuk menerima ilham. Perbanyakkan dan perkemaskan amal ibadah. Perbanyakkan program silaturrahim dan bermuzakarah dalam menghisab uslub perjuangan dan menilai kelemahan diri.

Arwah datuk saya pernah bercerita, kalau disuluh gerakan-gerakan yang telah berjaya di zaman salafussoleh, terdapat tiga program wajib disediakan oleh tok naqib untuk anak-anak usrah dalam melengkapkan diri sebelum berhadapan dengan masyarakat dan memperbaiki kepincangan dan kerosakan masyarakat. Ketiga-tiga program tersebut ialah program Fardhu Ain, program Usrah dan program Munajat. Program Fardhu Ain merupakan program untuk melengkapkan diri para pendakwah dengan ilmu yang sepatutnya mereka miliki, mereka amalkan dan mereka perjuangkan.

Program usrah untuk membentuk jiwa-jiwa perjuangan dalam diri anak-anak usrah. Dalam program usrah akan dihuraikan corak perjuangan orang terdahulu melalui sejarah dan kisah hidup mereka. Setelah Baghdad dilanggar Monggol, dunia ketamadunan Islam hampir menuju kebinasaan. Sehinggalah bangkit seorang yang bernama Sheikh Jaafar dari Barzanja. Di karang sebuah kitab yang menceritakan kisah hidup baginda Rasulullah SAW. Dipersembahkannya dalam bentuk syair yang indah. Hasil pembacaan kitab tersebut di kalangan umat Islam, akhirnya roh perjuangan Islam kembali marak. Lahirlah jemaah-jemaah yang meniupkan semula semangat jihad di kalangan masyarakat. Sistem kemasyarakatan Islam dilahirkan semula. Akhirnya, Ghazzan Khan, cicit kepada Kublai Khan telah di Islamkan. Inilah pengaruh Kitab Berzanji. Inilah tanda betapa pentingnya menghayati kisah dan sejarah orang yang berjaya khususnya sejarah Rasulullah SAW, para sahabat radhiallahuanhuma dan para salafussoleh. Semoga keberkatan merahmati Sheikh Jaafar Al Barzanji walau pun orang modern sekarang mengatakan Berzanji itu adalah bidaah walaupun orang yang mengatakan amat suka membaca riwayat hidup Elvis Presley atau pun George Bush. Inilah fungsi usrah. Diperjelaskan matlamat perjuangan. Diperjelaskan mekanisme dalam perjuangan. Diperjelaskan sikap kita terhadap ujian yang bakal dihadapi. Menjadi alat motivasi kepada anak-anak usrah. Menjadi alat mengukuhkan ukhwah kepada anak-anak usrah. Inilah fungsi program usrah.

Program ketiga ialah program munajat. Setiap apa pun yang kita lakukan, hanya Allah SWT yang akan mengizinkan kejayaannya. Pautan hati dengan Allah kena ada. Bukan saja kerana kita mengharapkan kejayaan dalam perjuangan kita, tetapi adalah disebabkan kita ini adalah hamba yang lemah lagi daif. Siapakah kita kalau Allah tidak merezkikan kita dengan iman dan Islam ? Maka kepada Allah tempat kita kembali dan mengadu, agar kita akan terus istiqamah dalam perjuangan ini. Kepada Allah tempat kita mengadu agar niat dan matlamat kita untuk menuju Allah tidak terpesong. Kepada Allah tempat kita mengadu agar syurga menjadi tempat rehat kita di akhirat. Maka dengan itu, wajarlah kita bermunajat kepada Allah.

Allah Tuhan kamiAllah matlamat kamiRasul pemimpin kamiRasul penghulu kamiAl Quran ikutan kami dan perundangan kamiMenyatukan jemaah muslimin itu kerja kamiNegeri akhirat adalah matlamat dan kesudahan kamiHanya syurga tempat rehat dan kebahagiaan kamiBerjihad pada jalan Allah itu jalan kamiSyahid pada jalan Allah cita-cita kami

0 Comments:

Post a Comment

<< Home