Forum Antara Benua

Monday, January 29, 2007

Farewell Ramadhan Part 2

Text Forum Dunia Islam Antara Benua Al Ansar Foundation

Tarikh - Masa : 26 Oct'06 - 10 pm (Malaysia) / 26 Oct'06 - 12 midnite (Australia) / 26 Oct'06 - 4 pm (France) / 26 Oct'06 - 3 pm (Ireland) / 26 Oct'06 - 4 pm (South Africa) / 26 Oct'06 - 7 pm (Uzbekistan) / 26 Oct'06 - 10 pm (Indonesia ) / 26 Oct'06 - 9 pm(Thailand) / 26 Oct'06 - 10 pm (Singapore) / 26 Oct'06 - 10 pm ( Brunei ) / 26 Oct'06 - 10 am (Canada) / 26 Oct'06 - 4 pm (Syria)

Tempat : Chat room Eagropharma (Paltalk Private Conference )

Tajuk : Farewell Ramadhan 1427H

Perantara : garden_of_jannah

Panelis :
1. ansari008
2. heros_de_france
3. naga_lawan_otromen


Soalan : Ahli Panel menyentuh peranan sahabat dalam membina role model menzahirkan Dinul Islam. Tetapi di dunia cyber, apakah ianya masih berkesan seperti dunia sebenar ? Alam cyber, kita hanya kenal melalui internet, jarang berjumpa jasad. Malah kalau berjumpa jasad, belum tentu ikatan persahabatan sama seperti di alam cyber. Jadi sejauhmana keberkesanan persahabatan di internet mampu menjanjikan kekuatan ukhwah dari sudut perjuangan ?

Jawapan

Panelis 1 : Dalam Ihya Ulumiddin ada diceritakan sebuah kisah pada malam Saiyidina Ali merelakan dirinya menjadi pengganti tempat tidur Nabi Muhammad S.A.W. sedangkan di malam itu, pemuda-pemuda Quraisy dari pelbagai suku bersedia untuk menetak batang tubuh Nabi Muhammad S.A.W. dengan pedang masing-masing. Saiyidina Ali rela menggantikan tempat Nabi Muhammad S.A.W. dan berhadapan dengan maut pada malam hijrahnya Nabi S.A.W ke Madinah. Ali tahu bahwa perbuatannya itu menempah maut. Pada malam itu juga Allah menguji dua malaikat Nya, Jibrail dan Mikail. Allah tanya kepada dua malaikat tersebut, Allah kata nak tarik nyawa kedua-duanya. Antara Jibrail dan Mikail, yang mana satu rela ditarik nyawa dulu. Bertolak-tolakanlah antara dua malaikat tu. Masing-masing tak mahu mati dulu. Jibrail kata, tariklah nyawa Mikail. Mikail pula kata, tariklah nyawa Jibrail. Lalu Allah sindir kedua-dua malaikat tersebut.

"Lihatlah betapa tinggi dan mulianya pengorbanan Ali terhadap Muhammad, tidakkah kamu wahai Jibrail dan Mikail, malu terhadapnya ?"

Inilah nilai persahabatan yang agung yang membuahkan ukhwah kasih sayang antara Nabi S.A.W. dan para sahabat. Pengorbanan mereka sangat tinggi hingga tidak tercapai oleh malaikat

Persahabatan amat penting terutama dalam menegakkan hukum Allah. Tanpa persahabatan yang sejati dan setia, maka lemahlah perjuangan. Kalau Nabi S.A.W. mempunyai sahabat dalam menegakkan hukum syariat di muka bumi, lebih-lebih lagi moderator atau naqib yang mengendalikan dakwah menggunakan internet, perlu dan wajib mempunyai sahabat dalam memperjuangkan Islam. Sahabat ini bukanlah di kalangan orang yang hasad dengki atau munafik. Sebaliknya sahabat-sahabat yang bersama-sama berpegang kepada tali Allah iaitu hukum-hakam Allah seperti yang ada dalam Al Quran dan Sunnah. Tetapi ini bukan kerja yang mudah. Ianya kerja sukar, sesukar mencari sebutir mutiara di dasar lautan yang dalam.

Bukan mudah mengikat tali persahabatan kerana ianya bukan diikat oleh perkara material mahu pun fikiran, tapi diikat oleh pautan hati. Pautan hati hanya dapat dilahirkan dengan iman dan amalan taqwa. Iman taqlid yang cacat keyakinannya dan amalan mungkar sama sekali tidak akan melahirkan sahabat sejati. Pautan hati ini dibina dengan ikatan syahadah dan melaksanakan tuntutan kalimah suci tersebut.

Seorang sahabat mungkin mempunyai citarasa berbeza, rupa paras berbeza, tahap pemikiran berbeza, kekuatan akal berbeza, tetapi matlamat dan gaya berfikir selari dan selaras dengan syariat Islam. Perbezaan lahiriah di atasi dengan sifat kasih sayang, tolak ansur dan faham memahami dan sifat-sifat murni ini hanya lahir dengan mengamalkan syariat Allah.

Inilah ajaib dan peliknya didikan di madrasah Rasulullah S.A.W. Kelembutan Saiyidina Usman dapat digandingkan dengan ketegasan Omar Al Farouq. Kejujuran Abu Bakar As Siddiq dapat digandingkan dengan keberanian Ali Karamallahu wajhah. Walaupun watak berbeza, tetapi terjadi ikatan persahabatan yang tulus hingga melenyapkan sebarang jurang perbezaan demi menegakkan Islam.

Pendek kata, kalau ingin menjadi sahabat sejati, amalkanlah hukum syariat Allah. Kalau tidak beramal dengan syariat Allah, ada sejuta manusia pun tidak akan mampu menjadi sahabat. Kerana perkara asas dalam bersahabat ialah berpegang dengan hukum-hakam yang telah Allah turunkan tidak diterima dan diamalkan bersama.

Persahabatan berbeza dengan persatuan. Persahabatan adalah jemaah yang ahlinya diikat dengan pautan hati yang terhasil apabila bersama-sama menerima dan mengamalkan hukum yang telah Allah wahyukan. Persatuan adalah satu perkumpulan, yang ada pemimpin dan ahli, ada perlembagaan, setiap ahli termasuk pemimpin perlu patuh kepada perlembagaan persatuan. Kalau dari pendekatan internet, chat room dan portal merupakan salah satu contoh persatuan. Adakah persatuan di chat room atau portal itu suatu persahabatan ?

Kalau nak tahu sama ada hubungan di chat room atau portal suatu persatuan atau persahabatan, cuba tanya soalan-soalan ini :

1. Adakah pemimpin dan ahli chat room atau portal semuanya berpegang teguh pada tali Allah ?

2. Adakah pemimpin dan ahli-ahli saling bertolong bantu dalam melakukan kebajikan dan taqwa sambil bertolong bantu meninggalkan mungkar dan fasad ?

3. Adakah pemimpin dan ahli-ahli kehidupannya berbeza dari kehidupan masyarakat yang tak terlibat dengan perjuangan Islam ?

Saya ingin mengulas jawapan terhadap ketiga-tiga soalan dari sudut Islam Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Bukan dari sudut Islam liberal, atau Islam hadhari, atau Islam Deeparaya, atau Islam chatting.

Soalan pertama. Jawapannya. Kalau pemimpin atau pun ahli tidak berpegang teguh pada hukum Allah, itu bukan persahabatan, itu persatuan. Jelas dan muktamad.

Soalan kedua. Jawapannya. Kalau ada pemimpin dan ahli terlibat dengan mungkar dan fasad. Itu persatuan bukan persahabatan. Jelas dan muktamad.

Soalan ketiga. Jawapannya. Kalau suasana dalam rumahtangga sendiri tidak ada beza dengan suasana masyarakat yang tidak berniat untuk memperjuangkan Islam, takkan kita nak kata rumahtangga kita rumahtangga Islam. Islam dikenali melalui syiar. Syiar tertegak apabila hukum syariat diamalkan. Kalau suasana luar dan dalam rumah, sama, tak ada syiar. Tak ada syiar sebab tidak tegakkan hukum syariat, macam mana kita nak kata rumah tangga kita yang terbaik berbanding rumahtangga orang lain ? Sebab, orang luar buat maksiat, rumahtangga kita buat maksiat. Perdana Menteri buat mungkar, moderator room kita juga buat mungkar. Black metal terlonjak-lonjak di disco, ahli-ahli kita pun head banging di portal. Tak ada beza room kita dengan dunia luar yang fasad. Mana ada beza antara perjuangan Islam dengan perjuangan bukan Islam macam ini. Jelas dan muktamad.

Kesimpulannya, orang yang berjuang melalui internet, tetapi lebih mengutamakan persatuan dari persahabatan, perjuangan mereka akan sia-sia. Sebab persatuan mengikat hati-hati ahli berdasarkan perlembagaan dan membership. Sedangkan persahabatan mengikat hati-hati berdasarkan hukum syariat dan iman. Inginkan sahabat ? Laksanakanlah hukum-hakam Allah, baik perintah suruh mahupun perintah larang. Jelas dan muktamad.

Hakikatnya, kita boleh lihat di chat room yang mengaku Islam berlaku krisis demi krisis, sampai diwujudkan forum oleh ahli-ahli, "Apa Masalah Komuniti Kita ?"....... "Dimana Keadilan Pemimpin Kita ?" Semuanya terjadi kerana baik moderator mahu pun ahli tidak berpegang sungguh-sungguh dengan tali Allah.

Saya ada terbaca tentang Hikayat Universiti Kelam tulisan seorang chatter, moderator yang buat maksiat tidak terbuka hati menerima teguran dari ahli. Ahli yang menegur moderator yang menceroboh maruah keluarganya, dimaki dan dibuang keahlian dari chat group. Ahli yang cuba membantu ahli yang teraniaya dan berusaha menegakkan makrufat diugut untuk diaibkan kerana tidak setia menyokong moderator yang buat maksiat. Di mana pautan hati yang berlandaskan iman dalam jiwa pemimpin ? Semua berlaku kerana mengabaikan faktor iman. Setiap perkara dimulai dengan niat. Kalau niat menubuhkan room berbau Islam untuk membuat maksiat, maka beginilah jadinya.

Kalau wujud persahabatan, tak akan wujud perselisihan. Tak akan wujud ugut-mengugut. Tak akan wujud fitnah memfitnah. Yang ada hanyalah kasih sayang, kemesraan dan pengorbanan. Orang yang melakukan maksiat akan menerima teguran dengan penuh kemesraan dan sanggup mengorbankan kehendak nafsunya demi persahabatan yang berteraskan keimanan. Kerana persahabatan tidak boleh dipisahkan melainkan dengan kematian. Itu pun walau pun mati, ianya akan tetap kekal dalam ingatan sehinggalah semua yang bersahabat kembali ke alam baqa' dan talian persahabatan itu akan terus berkekalan di akhirat.

Apabila ada persahabatan, maka berbuahlah kemesraan, bantu membantu, nasihat menasihati, lahirlah jiwa pengorbanan. Di sini lahirnya kekuatan dalam membangunkan jemaah. Kerana kasih sayang persahabatan akan menjadi perisai dan menasihati, apabila sahabat terpesong dari landasan kebenaran. Ukhwah dalam persahabatan akan menjamin sahabat akan terus bersama-sama dengannya dalam perjuangan ini sehinggalah ke akhir. Wallahu a'lam.

Panelis 3 : Arwah datuk saya pernah bercerita kepada saya. Ada seorang sahabat bernama Zaid bin Wathnah telah ditangkap oleh kafir Quraisy dan hukuman yang telah ditetapkan oleh kafir Quraisy ke atasnya adalah kematian. Sewaktu Zaid bin Wathnah sedang berhadapan hukuman gantung. Berkata Abu Sufyan kepadanya :

"Bagaimana pandangan mu andainya Muhammad yang berdiri ditempat mu kini dan engkau bebas gembira disamping keluarga mu"

Zaid lantas menjawab :

"Demi Allah, tidaklah aku sanggup bersukaria disamping keluarga ku walau Rasulullah S.A.W. ditusuk sebatang duri"

Mendengar ucapan itu, Abu Sufyan terus berkata :

" Tidak satu pun didunia ini yang setanding kasih sayang sahabat Muhammad kepadanya"

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W., para sahabat sering hidup berlinangan air mata kerana menanggung kerinduan, terutama tatkala terkenang keindahan dan kemanisan hidup disamping kekasih mereka, Rasulullah S.A.W.

Saidina Bilal telah meninggalkan Madinah setelah kewafatan Rasulullah S.A.W. Saidina Bilal meninggalkan Madinah kerana merasakan tanggungjawab dalam menyebarkan kalimah Allah wajib dipikul oleh dirinya setelah kewafatan Rasulullah S.A.W. Baka bermusafir dan berdakwahlah Saidina Bilal di Jaziratul Arab.

Adakah Saidina Bilal seorang yang frust perjuangannya kerana meninggalkan Madinah ? Saudara jawablah sendiri.

Pernah suatu ketika, sewaktu sedang berdakwah, dalam tidurnya, Saidina Bilal bermimpi bertemu Rasulullah S.A.W. dan Rasulullah S.A.W. berkata kepadanya :

"Wahai Bilal mengapa engkau tidak pernah menziarahi ku ?"

Sejurus Bilal bangkit dari tidurnya, dia terus kembali ke Madinah dan menziarahi maqam Rasulullah S.A.W. Setelah itu dia menziarahi kedua-dua cucu Rasulullah S.A.W. Hasan dan Husin. Atas permintaan Hasan dan Husin, Bilal telah melaungkan azan di Masjid Nabi walaupun tindakannya melaungkan azan telah menghiris kerinduannya kepada Rasulullah S.A.W. Azan yang berkumandang di ruang angkasa Kota Madinah telah mengundang esakan dan linangan air mata seluruh penduduk Madinah. Masjid Nabi akhirnya dipenuhi oleh seluruh penduduk Madinah. Hadirnya mereka bukan untuk mendengar kemerduan suara Bilal, tetapi hadirnya mereka bersama air mata yang bercucuran, mengimbas kenangan sewaktu mereka berjuang bersama manusia yang menjadi kekasih mereka di dunia dan akhirat. Sayu hati mereka kerana mereka terkenang zaman dan saat-saat suka duka penderitaan yang mereka pernah lalui bersama manusia teragung dan termulia, Saiyidina Muhammad Bin Abdullah S.A.W.

Inilah nilai persahabatan yang ditunjukkan oleh para sahabat. Talian persahabatan yang utuh dan sejati. Yang tidak pudar walaupun maut datang mengundang. Walau jasad sudah bersemadi, namun kenangan yang sering menggamit menjadi baja buat menyuburkan perjuangan yang masih menagihkan pengorbanan dari barisan mujahid yang ikhlas.

Saudara-saudari sahabat seperjuangan sekelian. Apakah kita merasa rindu kepada Rasulullah S.A.W. sebagaimana para sahabat merindui baginda ? Apakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dan berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. sebagaimana para sahabat berselawat kepadanya ?

Saudara-saudari sahabat seperjuangan sekelian, ramai di antara kita walaupun mengaku ingin menyambung lidah perjuangan Rasulullah S.A.W. hakikatnya tidak mengenali siapakah Rasulullah S.A.W. apa lagi untuk menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai sahabat di dunia dan di akhirat.

Dan dalam perjuangan ini, angkara nafsu dan syaitan lahirlah golongan munafiq dan fasiq yang turut membantu syaitan dan nafsu dalam menghalangi tugas perjuangan kita. Mereka-mereka inilah yang akan menabur fitnah, mengelirukan masyarakat dengan agama yang disalahertikan dan dijumudkan, semata-mata perjuangan kita dicaci dan dihina. Biarlah jutaan manusia menolak persahabatan dengan kita sambil mencetus api perseteruan. Bukan mereka yang menciptakan alam ini, melainkan Allah. Selama mana kita berpegang dengan hukum yang Allah telah tetapkan, optimistkan perjuangan dan terus mara ke hadapan. Kita tidak memerlukan golongan munafiq dan fasiq dalam barisan perjuangan kita. Kita juga tidak memerlukan golongan munafiq dan fasiq bersahabat dengan kita, kerana dosa yang sedang kita pikul sudah terlalu banyak buat kita. Dan kita tidak mahu menambah dosa dengan bersahabat dengan para munafiq dan fasiq.

Saudara-saudari sahabat seperjuanganku sekelian. Demi mencapai kembali kegemilangan Islam yang sedang kita canangkan, maka marilah kita hidupkan semula roh persahabatan dalam erti kata yang sebenar. Selagi para pemimpin, guru, ustaz, moderator, penceramah dan seluruh anggota masyarakat Islam tidak diikat dengan tali persahabatan yang berteraskan iman, maka selagi itulah jemaah, masyarakat dan umat akan lemah selemah-lemahnya. Apa salahnya kita bersahabat dengan sesiapa sahaja yang mengucapkan kalimah syahadah, walaupun pada hakikatnya sangat sedikit insan yang boleh dijadikan sahabat di akhir zaman ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home