Forum Antara Benua

Monday, January 29, 2007

Farewell Ramadhan Part 6

Text Forum Dunia Islam Antara Benua Al Ansar Foundation

Tarikh - Masa : 26 Oct'06 - 10 pm (Malaysia) / 26 Oct'06 - 12 midnite (Australia) / 26 Oct'06 - 4 pm (France) / 26 Oct'06 - 3 pm (Ireland) / 26 Oct'06 - 4 pm (South Africa) / 26 Oct'06 - 7 pm (Uzbekistan) / 26 Oct'06 - 10 pm (Indonesia ) / 26 Oct'06 - 9 pm(Thailand) / 26 Oct'06 - 10 pm (Singapore) / 26 Oct'06 - 10 pm ( Brunei ) / 26 Oct'06 - 10 am (Canada) / 26 Oct'06 - 4 pm (Syria)

Tempat : Chat room Eagropharma (Paltalk Private Conference )

Tajuk : Farewell Ramadhan 1427H

Perantara : garden_of_jannah

Panelis :
1. ansari008
2. heros_de_france
3. naga_lawan_otromen



Soalan : Sejak kejatuhan Khalifah Osmaniah, banyak jemaah dan gerakan berusaha untuk merealisasikan sistem kekhalifahan. Ada yang berjuang di sudut ekonomi, ada yang berjuang di sudut pendidikan, berjuang di sudut politik dan juzuk-juzuk yang ada dalam Islam. Tak lupa juga yang berjuang dengan menggunakan saluran internet. Tetapi setelah kejatuhan Khalifah Osmaniah sehinggalah sekarang, gerakan-gerakan Islam masih belum mencapai target dalam menzahirkan kekhalifahan Islam itu. Bagaimanakah cara terbaik dalam merealisasikan kelahiran empayar Islam ?

Jawapan :

Panelis 1 : Dalam Surah Saba', ayat ke 15, Allah ada berfirman akan ciri sebuah negara dan bayangan sebuah empayar:

Negara yang aman makur serta mendapat keampunan Allah

Dalam usaha menjadikan negara sebuah khalifah Islam, syaratnya ialah aman makmur serta mendapat keampunan Allah. Aman makmur saling berukhwah dan berkasih sayang. Tiada krisis. Tiada hasad dengki. Tiada konflik jiwa. Dan yang paling utama ialah mendapat keampunan Allah. Bagaimana mendapat keampunan Allah ? Mendapat keampunan Allah dengan menjadi orang yang bertaqwa. Mengapa taqwa ? Sebab Allah berfirman dalam Al Hujurat ayat ke 13:

Bahawa semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa

Apa itu taqwa ? Taqwa ialah kita membuat apa yang Allah suruh dan kita tinggalkan apa yang Allah larang. Sekarang mari kita suluh diri kita. Sejauhmana kita sudah jadikan diri kita orang bertaqwa. Saya yakin semua yang hadir di paltalk ini ingin berjuang, ingin lihat sistem khalifah tertegak semula di mukabumi. Jadi sebelum kita sentuh perkara empayar yang besar, jom kita lihat sejauhmana kita yang hendak berjuang sudah menjadikan diri kita sendiri orang bertaqwa. Ampun maaf, saya yang dijemput menjadi tukang cakap pun tak berani hendak mengaku saya sudah bertaqwa. Sebab apa ? Orang bertaqwa ialah orang yang sudah dijamin syurga. Allah berfirman dalam Al Quran, syurga hanya untuk orang bertaqwa. Saya belum dijamin syurga, jadi saya bukanlah orang bertaqwa. Saudara-saudari macam mana ? Jadi kalau sudah suluh diri, kita sedar kita belum jadi orang bertaqwa, janganlah pula kita putus asa. Kena ingat sifat raja'. Sifat harap kepada rahmat Allah. Bila ada sifat raja', maka kita berusaha memperbaiki diri dari masa ke semasa.

Ada orang, dia punya sifat raja' dah over. Melampau sangat. Dia harap kepada rahmat Allah tidak bertempat. Dia tidak imbangkan sifat raja' dengan sifat khauf. Sifat khauf ialah sifat yang menyebabkan kita takut dengan azab Allah. Orang kalau ada sifat raja' sahaja tapi tak ada sifat khauf, dia over confident. Dia buat dosa, selamba saja dia kata dosa ini, bila taubat nanti Allah akan ampun sebab Allah Maha Pengampun. Lalu dia terus buat dosa banyak-banyak sebab dia kata Allah Maha Pengampun. Kalau tak ada sifat khauf, jadi beginilah. Sebab itu kita boleh lihat, orang munafik bila dia buat dosa, di hujung perbuatan dosanya, dia akan kata

"Allah Maha Pengampun, nanti Allah ampunkan dosa aku dan kita semua" .

Sedangkan ampunan Allah hanya untuk hamba-hamba NYA yang berusaha mengabdikan diri kepada NYA. Bukan kepada mereka yang bersifat nifak.

Oleh itu cara untuk merealisasikan empayar Islam, hendaklah bermula dengan memiliki sebanyak mungkin sifat taqwa. Berusaha melaksanakan segala suruhan Allah. Berusaha meninggalkan segala larangan Allah. Dalam diri, keluarga, orang-orang terdekat, masyarakat dan seterusnya dalam dunia ini. Elok juga kita jadikan komuniti cyber sebagai bayangan negara dan empayar Islam yang kita idam-idamkan. Kalau komuniti cyber kita menghampiri kepada ketaqwaan, insya-Allah perjuangan dan usaha kita dalam merealisasikan keluarga yang bertaqwa akan dipermudahkan Allah. Kalau keluarga kita sudah menghampiri kepada ketaqwaan, insya-Allah jalan membentuk kampung, masyarakat, negara dan seterusnya empayar Islam menjadi mudah. Tetapi kalau diri naqib yang mengendalikan komuniti cyber sudah rosak dan jauh dari sifat taqwa, eloklah bermuhasabah diri, bertaubat dan mulakan kembali langkah perjuangan dengan mengumpul sifat-sifat taqwa dalam diri. Wallahu a'lam.

Panelis 3 : Cara terbaik untuk menzahirkan dunia baru Islam oleh para pejuang, tak kira sama ada yang bergerak dalam pelbagai jemaah mahu pun di internet ialah dengan memperbanyakkan sifat taqwa dalam diri.

Gerakan dan perjuangan yang lembab oleh jemaah kini tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan lemahnya iman dalam diri para pejuang. Lemah dalam diri yang mendengar. lemah dalam diri yang bercakap. Lemah dalam diri pemimpin. Lemah dalam diri pengikut. Bila iman lemah, jauhlah sifat taqwa dalam diri. Bila tiada ketaqwaan, maka tiadalah bantuan Allah. Tidak terkecuali kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh para pejuang berulang-ulang kali memburukkan lagi keadaan. Saya nak senaraikan beberapa watak yang sepatutnya ada dalam diri individu yang bergerak dalam jemaah perjuangan. Antaranya :

Pertama. Pejuang hendaklah mengawasi kelemahan diri. Setiap makhluk ciptaan Allah, hakikatnya adalah lemah. Kita sebagai manusia, kaya dengan sifat kelemahan. Musuh Islam itu ramai, dan kita pula kaya dengan kelemahan. Jangan sampai orang yang ingin berjuang lupa mengawasi kelemahan diri lantas kelemahan itu dihidu musuh untuk dijadikan senjata bagi menumpaskan para pejuang.

Antara kelemahan-kelemahan yang selalu menimpa para pejuang ialah lemah terhadap godaan wanita, lemah berhadapan dengan pujian, takut bila diugut, takut berhadapan dengan kesusahan, lesu bila beroleh kemewahan dan lain -lain lagi. Jika kelemahan-kelemahan ini tidak diawasi dan diperbaiki, ianya menjadi ruang untuk musuh Islam mengambil kesempatan untuk menewaskan para pejuang. Musuh Islam baik musuh yang zahir iaitu golongan fasiq, munafiq dan kafir. Ataupun musuh yang batin, nafsu dan syaitan.

Godaan perempuan merupakan penyakit yang paling banyak menewaskan para pejuang. Godaan sama ada dalam bentuk maksiat dan mungkar seperti berzina. Atau pun godaan dalam bentuk Queen Control oleh sang isteri. Sam'un Al Ghazi ditewaskan oleh oleh musuh kerana pengaruh Delilah. Begitu juga dengan dunia perjuangan di komuniti cyber. Ramai pejuang mampu menzahirkan keupayaan ilmu di kalangan chatter dan tidak kurang juga ahli ilmu tersebut berjaya juga menzahirkan kedayusan mereka di kalangan chatter kerana tindakannya dikawal oleh sang isteri. Oleh itu, demi perjuangan, para pejuang yang sedar mereka tidak mampu bertahan dengan fitnah wanita, hendaklah mengelakkan diri dari berurusan dengan wanita tanpa kehadiran muhramnya. Atau bagi mereka yang tewas ditangan isteri, pastikan mereka tidak menjadikan isteri sebagai pemimpin dalam mencorak perjuangan. Wal hasil dari tindaakan bacul si suami dek kawalan isteri, terzahirlah segala sifat mazmumah dan kedayusan yang amat di kalangan chatters.

Juga ada pejuang Islam yang lemah bila berhadapan dengan ugutan musuh. Akibat ugutan dari pihak musuh, maka para pejuang berundur dari medan perjuangan. Oleh itu para pejuang mesti bijak dalam mengatur gerakan agar tiada ruang dapat digunakan oleh pihak musuh untuk menjadikan kelemahan mereka sebagai senjata yang boleh menghancurkan keseluruhan perjuangan.

Dalam Islam, sikap tunduk kepada ugutan musuh tidak dibenarkan. Sebaliknya kita sebagai pejuang agama, kitalah yang sepatutnya mengugut musuh-musuh Islam dengan ancaman neraka Allah agar musuh tunduk dan patuh kepada perlembagaan yang terkandung di dalam Al Quran dan Sunnah. Pejuang perlu mempamerkan kegagahan diri mereka kepada musuh. Dalam mazhab Shafie, wajib pemerintah Islam menjalankan latihan ketenteraan di sempadan negara kafir harbi setiap enam bulan sekali.

Apa kata Muhammad Al Fateh sewaktu disanggah oleh Kaisar Rom ketika Muhammad Al Fateh membina benteng di Selat Dardaniel ?

Muhammad Al Fateh berkata :

"Aku tidak mahu lagi lihat duta kerajaan Rom di bumi pentadbiran ku. Beritahu Raja kamu bahawa Muhammad Al Fateh tidak seperti datuknya dahulu, bila Muhammad Al Fateh memulakan satu kerja dia tidak akan berhenti, sehinggalah dia berjaya"

Inilah sikap yang patut kita contohi ketika berhadapan dengan musuh. Oleh itu ayuh kita sampaikan kepada musuh-musuh Islam, maklumkan kepada mereka. Ini bukan masa untuk mereka mengugut kita, sebaliknya ini adalah masa mereka mendengar apa yang bakal kita perkatakan kepada mereka.

"Berimanlah atau berhadapan dengan barisan mujahid yang ingin melihat hukum-hakam Allah berdaulat di muka bumi."

Kedua. Membangunkan semangat. Para pejuang mesti punya semangat yang membara untuk mendaulatkan syariat Allah. Para pejuang mesti optimist dalam perjuangan mendaulatkan syariat Allah. Semangat yang berkobar perlu bersumberkan faktor keimanan. Untuk membangunkan semangat perjuangan, hendaklah selalu membaca dan menghayati sejarah-sejarah perjuangan umat Islam yang terdahulu terutamanya di zaman Rasulullah S.A.W. dan para sahabat. Suburkanlah semangat perjuangan dengan menghayati sejarah perjuangan dan kegigihan para pejuang Islam yang gemilang. Dengan semangat yang tinggi berlandaskan iman, segala kesulitan dan kepayahan dianggap mudah. Pejuang terhibur dengan penderitaan oleh sifat sabar. Tidak ada dalam kamus hidup pejuang, rasa kesal dalam menanggung beban perjuangan. Bagi para pejuang, hidup mereka hanya memburu salah satu antara dua perkara. Kemenangan atau syahid.

Kerana optimist dengan perjuangan untuk membebaskan bumi Andalusia dari kekufuran, Tariq Bin Ziad membakar kesemua kapal-kapal perang tenteranya. Tenteranya dibiarkan untuk memilih mati sebagai dayus tenggelam di lautan atau mati sebagai syuhada di medan pertempuran.

Ketiga. Para pejuang perlu sentiasa dalam keadaan akal yang cergas. Oleh itu para pejuang perlu memperkuatkan dan membina kekuatan akal. Kekuatan akal dibina dengan menambah ilmu dan pengalaman serta bertafakur. Dengan kekuatan akal, akan lahir idea-idea bernas yang memberi keuntungan kepada perjuangan Islam.

Keempat. Para pejuang juga harus memiliki kekuatan kerohanian, dan kekuatan kerohanian ini boleh dicapai dengan bantuan amalan-amalan sunat. Andainya ada pejuang yang boleh memperkecilkan amalan sunat, jelas dan nyatalah mereka tidak menitik beratkan faktor bantuan Allah. Dalam usaha memperbanyakkan amalan sunat , jangan pula sampai mengabaikan amalan wajib. Perkemaskan amalan yang wajib dan perbanyakkanlah amalan yang sunat. Jangan pula memperlekehkan amalan yang sunat sambil meringankan amalan yang wajib. Rasulullah S.A.W. bersabda dalam sebuah hadis qudsi :

"Dan sentiasa ada hamba KU yang mendekatkan dirinya kepada KU dengan amalan-amalan sunat sehingga AKU mencintainya. Maka apabila AKU mencintainya, pendengaran KU menjadi pendengarannya, penglihatan KU menjadi penglihatannya"

Apabila Allah mencintai sang pejuang, sudah tidak akan ada apa lagi halangan yang menyukarkan dalam mencapai matlamat.

Apa kata Musa Bin Nusair yang menjadi pemerintah tentera Islam yang tidak pernah kalah walau dalam satu pertempuran ? Musa Bin Nusair mendedahkan rahsia kemenangannya dalam setiap pertempuran :

"Sebelum memulakan pertempuran, aku bersunyi-sunyi dengan Allah. Aku adukan segala kelemahan ku di hadapan NYA, dan aku yakin, Allah akan membantu ku".

Inilah keuntungan seorang mukmin. Semakin sulit masalah yang dihadapinya, semakin tajam pula doanya dan semakin serius dia mendampingi Allah dalam doa dan munajatnya.

Tidak seperti manusia fasiq dan munafiq. Semakin susah dan sulit masalah, kepada kahin-kahin atau pemuka-pemuka maksiat dijadikan wali mereka.

Memang dalam perjuangan ada kesulitan tetapi dalam kesulitan itu sentiasa ada ketenangan. Sebaliknya orang yang tidak berjuang, kurang kesulitan tetapi tiada ketenangan.

Keempat-empat faktor yang disebutkan tadi merupakan perkara yang perlu diambil kira dalam menzahirkan semula empayar Islam. Atasi masalah tersebut dan berusaha ke arah ketaqwaan, Insya-Allah kejayaan dipihak para pejuang. Andainya terkorban dalam perjuangan, syahid imbuhan yang sewajar baginya. Ingatlah. Hidup mesti mulia. Kalau mati, mestilah syahid.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home